Adakah Bunga Emas Dari Negeri Perak Benar-benar Selamat Tiba ke Bangkok?

 

Menilai sejarah kita dari pandangan atau kacamata kita sendiri adalah penting setelah lebih separuh abad kita merdeka. Rekod dan gazet dari penulisan kolonial boleh diterima namun rumusan atau ulasan terhadap sejarah kita itulah yang mesti ditapis dan diadili secara saksama.

Topik Perang Perak-Siam 1821-1828 adalah salah satu topik yang hangat dan kontroversi setelah penulisan kolonial ditafsir semula berdasarkan rujuksilang dengan sumber tempatan. Ikuti bagaimana kedua-dua sumber – yakni historiografi pihak kolonial dan historiografi tempatan dianalisis untuk mencari jawapan demi jawapan.

Soalannya, adakah Bunga Emas dari negeri Perak benar-benar selamat tiba ke Bangkok?

 

 

 

 

====================================================================

 Jabatan Sejarah
The Historian Secret Society
kredit: M. A. Fawzi Basri (1986), Cempakasari Negeri Perak, Yayasan Perak; R.O Winstedt, R.J Wilkinson, A History of Perak, Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (1974); J.H. Moor (1837), Notices of the Indian Archipelago, and Adjacent Countries: Being a Collection of Papers Relating to Borneo, Celebes, Bali, Java, Sumatra, Nias, The Philippine Islands, Sulus, Siam, Cochin China, Malayan Peninsula, Cass; The Asiatic Journal and Monthly Miscellany, Volume 35; lamanweb Arkib Negara; John Anderson (1824), Political and commercial considerations relative to the Malayan peninsula, and the British settlements in the straits of Malacca,Oxford University; bahan-bahan dari pejabat DYMM Sultan Perak; ninotaziz, pertiwi wangsa sura (foto)
negarakusehatisejiwa

    ====================================================================

 

 

 

 

Apabila mengkaji tentang suasana politik negeri-negeri Melayu utara dan hubungannya dengan kerajaan Siam, timbul satu persoalan tentang adat Bunga Emas dari Negeri Perak. Bunga Emas dari Kedah & Perlis sebagai contoh, rekodnya lengkap dari percukaian dan pembuatan hinggalah kepada protokol penghantarannya. Malah memang ada Bunga Emas itu di Bangkok dan pernah diisukan supaya Thailand memulangkan kembali Bunga Emas ke Kedah. Boleh rujuk Bawa balik Bunga Emas Kesultanan Kedah.

Betapa lengkapnya rekod tentang penghantaran Bunga Emas itu sebagai contoh, dalam makalah Omar Yaacob bertajuk Bunga Emas – Persembahan Rakyat Perlis Untuk Negara Siam, ada dinyatakan jumlah tingkat Bunga Emas yang berbeza antara Kedah dan Perlis di mana Perlis ditetapkan sebanyak 3 tingkat dan Kedah sebanyak 5 tingkat. Penduduk juga dikehendaki membayar sejenis cukai iaitu ‘cukai ripai’ yang semacam cukai kepala. Ia dipungut setiap tahun oleh seorang pegawai bertugas yang dipanggil ‘kweng’ atau ‘kwiang’.

Malah persembahan Bunga Emas itu sebenarnya mengandungi semacam satu pakej – yakni bukan sahaja sepohon Bunga Emas dan sepohon Bunga Perak, malah ia diiringi dengan pelbagai kelengkapan senjata dan berjenis-jenis kain yang dipersembahkan mengikut kadar-kadar dan jenis tertentu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Siam.

Persembahan tadi juga akan dihantar dengan diiringi rombongan yang terdiri daripada Penghulu Bunga Emas, kerabat diraja, para pembesar dan panglima-panglima. Persembahan tadi akan bergerak ke pelabuhan Singgora (Songkhla kini di selatan Thailand) untuk diperiksa oleh Raja Singgora sebelum dibenarkan dihantar ke Bangkok dengan menaiki kapal.

Namun rekod dari Perak boleh dikatakan hampir tiada atau mudahnya, tiada langsung. Perak seolah-olah tiada langsung tradisi kuat pasal Bunga Emas malah ini terbukti apabila Sultan Abdul Malik Mansur (sultan Perak ke-19) sendiri menegaskannya di sekitar tahun 1818, apabila wakil politik kepada gabenor Inggeris di Pulau Pinang datang kepada baginda  untuk memberi nasihat dan amaran tentang tuntutan Siam melalui Kedah, baginda menjawab dengan tegas:

 

“Tidak ada adat sebegitu yang diturunkan kepada beta sejak dahulu yakni menghantar Bunga Emas kepada Siam atau Kedah.”

 

Dalam satu surat yang lain, baginda menyatakan dengan beraninya:

 

“Beta adalah adalah raja dari keturunan dahulukala dari Bukit Seguntang Mahameru. Betalah yang memegang Cura Simanjakini, Puan Nagataru dan Kancing (rantai karangan).

Beta adalah yang tertua dari segala raja ini, yakni  raja Siak, Selangor, Riau, Kedah dan Terengganu. Dengan hormatnya atas permintaan raja Siam dan Kedah itu, beta tidak boleh memenuhinya, meskipun perang adalah akibatnya. Beta harus melawan mereka kerana adat ini tidak pernah didengar atau disuruhkan ke atas negeri Perak. Kini buat pertama kalinya raja Kedah dengan biadap menuntut Bunga Emas untuk dihantar ke Siam. Beta tidak akan memenuhi kehendaknya. Sekiranya sejak dahulu Perak menghantar Bunga Emas kepada Kedah atau Siam, beta juga akan berbuat demikian menurut adat dahulukala.”

 

Dengan penegasan yang jelas begini nampak bahawa Perak tidak ada kena mengena dengan tuntutan Siam dan menunjukkan Perak bukanlah termasuk dalam mandala Sri Dharmaraja, asas yang dijadikan klaim atau tuntutan Siam ke atas negeri-negeri Melayu.

 

 

Peristiwa Bunga Emas Dari Perak Mengikut Rekod

 

Pada tahun 1821, Siam mengarahkan Ligor menyerang Kedah dan Perak. Serangan Siam ke atas Kedah ini amat popular dan dikenal sebagai Perang Musuh Bisik dan Kedah akhirnya telah jatuh ke tangan Ligor dan secara automatiknya ke tangan Siam. Di sini telah terjadi kekeliruan apabila terdapat pandangan atau sangkaan bahawa Perak juga jatuh ke tangan Ligor/Siam. Ini berdasarkan premis bahawa ketika itu kononnya Perak di bawah Kedah (Perak sebelum itu dilanggar Kedah atas arahan Siam), maka secara automatik Perak juga jatuh ke tangan Siam. Namun ini adalah pandangan yang mengelirukan kerana pada tahun 1822, Perak dengan bantuan Selangor telah berjaya menewaskan pasukan Siam dan mengusir sakibaki tenteranya keluar dari bumi Perak.

Ini disebut dalam beberapa sumber asing seperti:

 

1)  “In 1822, the Siamese were expelled, and rightful chief restored by the powerful assistence of the late warlike chief of Salangore, Raja Ibrahim.”

(Notices of the Indian Archipelago, and Adjacent Countries: Being a Collection of Papers Relating to Borneo, Celebes, Bali, Java, Sumatra, Nias, The Philippine Islands, Sulus, Siam, Cochin China, Malayan Peninsula oleh J.H. Moor, m/s 72)

 

2)  “To return for this digression, the Siamese again driven out in 1822, by the Rajah of Salangore, who restored the King of Perak by treaty…”

Dalam petikan seterusnya, telah diperkuatkan lagi dengan penyataan, “…”It must be evident that Siam can have no legitimate right over Perak…”

(The Asiatic Journal and Monthly Miscellany, Volume 35. m/s 152)

 

3) “The first Town is about 20 miles from the entrance, called Colong, it is situated at the right bank, and defended by several batteries. Here the King of Selangore reside at times. The inhabitants, before the war with the Siamese at Perak in 1822, were reckoned at about 1500…”

(Political and commercial considerations relative to the Malayan peninsula, and the British settlements in the straits of Malacca oleh John Anderson, m/s 198-199)

 

Bagaimana dengan sumber tempatan? Menariknya, ia ada disebut dalam sumber sejarah Negeri Perak dan arkib sendiri:

 

1) “Dalam tahun 1822, Selangor telah berjaya membantu Perak daripada orang-orang Siam. Berikutan ini, satu perjanjian Perak-Selangor telah ditandatangani pada 11hb. Julai, 1823 di mana Sultan Perak bersetuju membahagi dua hasil cukai bijih timah Perak. Untuk mengelakkan penyelewangan dan mengurangkan tekanan Siam, Sultan Selangor dan Sultan Perak bersetuju menempatkan Raja Hassan di Sungai Bidor. ”

(Sumber Arkib Negara, http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=1495)

 

2)  Raja Muda Abdullah merupakan orang yang berkuasa dalam tahun 1818 itu. Baginda telah mengendali urusan pertahanan negeri dari serangan dalam tahun 1821. Dengan bantuan Selangor, angkatan perang Siam dapat dihalau keluar dari negeri Perak.”

(Cempakasari Negeri Perak, M.A Fawzi Basri m/s 35 -cetakan baru)

 

Semua rekod di atas menjawab persoalan mengapa hanya menjelang tahun 1824, Perak dilaporkan baru ditekan semula bagi menghantar ufti ke Siam seperti dalam tulisan Winstedt/Wilkinson dalam A History of Perak:

Ligor occupied Perak and ordered the Sultan to send Siam the Gold and Silver Flowers of a tributary state; in 1824 the Bendahara, Sri Adika Raja, To’ ” Peggah ” and Maharaja Dinda took them to Ligor and were escorted home by 40 Siamese boats, which the Perak chiefs then loaded with 205 bahar of tin for Ligor.

 

Ligor occupied Perak” itu adalah dengan anggapan Perak di dalam taklukan Kedah dan kejatuhan Kedah bermakna kejatuhan Perak. Namun ini tidak berlaku kerana Siam ditewaskan Perak hasil bantuan Selangor pada tahun 1822 seperti yang disebutkan tadi. Memang Siam mengarahkan Ligor untuk menekan Perak supaya menghantar ufti Bunga Emas serentak dengan kempen serangan ke atas Kedah dan Perak pada tahun 1821 namun dengan kemenangan Perak mengusir keluar tentera Siam pada tahun 1822 itu, sebenarnya hasrat Siam tidak pernah tertunai.

Hasrat mereka sebetulnya hampir tertunai menjelang tahun 1824, apabila Ligor berjaya menekan Perak untuk menghantar ufti ke Bangkok namun 40 kapal milik Siam itu telah dipintas oleh pasukan Selangor dan semua persembahan itu disita.

The Sultan of Selangor captured these boats and stationed Raja Husain at Kuala Bidor to levy duties on articles taken up and down the Perak river. (A History of Perak)

 

Persoalannya adakah Bunga Emas negeri Perak pernah sampai dengan selamat ke Bangkok sekitar peristiwa 1824 itu sebab ada sumber dari sebelah negeri Perak yang menyatakan sebelumnya Sultan Abdul Malik telah berjaya memujuk Rama II untuk tidak berkeras dengan isu tuntutan ufti dan penyerahan Perak dengan menghadiahkan raja Siam itu dengan seekor gajah bernama Chapang Pileh.

Persoalan yang timbul juga ketika situasi Kedah ‘melanggar’ Perak pada tahun 1818, dalam catatan Booney yang selalu dipetik oleh ramai orang, kononnya Perak telah tewas kepada Kedah dan akhirnya terpaksa menghantar ufti Bunga Emas dengan disebutkan pada awal tahun 1819, “Bunga Emas dan Bunga Perak dari negeri Perak dalam perjalanan dari Pasir Garam menuju ke Bangkok”. Namun mengapa Siam begitu marah dengan Kedah dan Perak dan mengambil keputusan untuk menyerang kedua-duanya pada tahun 1821? Jika benar Kedah dapat menunaikan hasrat Siam untuk membawa Perak ke bawah naungannya, dan Siam benar-benar menerima ufti dari Perak mengapa Siam masih menyerang Kedah dan Perak? Ada tricky di sini.

Namun, jika kita melihat kepada sumber dari sebelah negeri Perak, dalam Cempakasari Negeri Perak ada jawapan yang jelas mengapa perkara aneh ini terjadi. Pasukan Kedah dan Perak rupa-rupanya telah berdamai dalam satu rundingan dan persetujuan untuk mengukuhkan ikatan melalui ‘diplomasi perkahwinan’ telah dicapai apabila Bendahara Kedah berkahwin dengan Che Wan Fatimah, dan Tengku Yaacob berkahwin dengan Hajah Denah, kedua-duanya anggota keluarga Che Panjang Talib, ketua pasukan Perak. Malah, tiada rekod dari sebelah negeri Perak tentang pernyataan “dalam perjalanan dari Pasir Garam menuju ke Bangkok” itu. Tulisan Booney sendiri menunjukkan keraguan dan belum disahkan sama ada ufti Bunga Emas itu benar-benar selamat tiba di Bangkok. Seolah-olah Booney sendiri playsafe dalam ayat-ayatnya atau sememangnya itu maklumat yang setakat diketahui tentang perkara itu. Oleh itu, dapat disimpulkan dari semua situasi ini bahawa, disebabkan  ufti Bunga Emas “masih on the way” itulah (sultan Perak telah mengutus surat sebagai helah kepada pihak Inggeris di Pulau Pinang), pihak Siam begitu marah kerana ufti Bunga Emas belum benar-benar diterimanya dan ini menjawab mengapa Siam melancarkan serangan besar-besaran menjelang akhir tahun 1821 itu atas tindakan balas Kedah dan Perak yang berdamai itu.

 

Pada Mac 1827, Raja Ligor telah menghantar kapal penuh dengan sutera ke Sungai Perak dan berjanji akan menghantar lagi kapal yang dipenuhi beras dan gula kepada sultan dan para pembesar Perak dengan syarat sultan memenuhi ‘jemputan’ ke Ligor dan seterusnya dibawa ke Bangkok dan sedia tunduk kepada Siam dan menjadi negeri naungannya. Namun Sultan Abdullah Muadzam Shah, sultan Perak ke-20, dengan selambanya menjawab jemputan itu dengan kata-kata sinis:

“Bahawa perjanjian sudah dibuat antara Kompeni dan Siam, dengan itu Siam tidak boleh lagi masuk ke negeri Perak. Beta fikir adalah tidak perlu bagi beta, seorang yang tidak punya apa-apa ini membiarkan Chau Phya ternanti-nanti, jadi beta meminta maaf; Ya…Chau Phya benar mengenai Sri Andika Raja yang telah menangkap gajah setinggi enam hasta itu. Beta telah menjaganya dan hendak menghantarnya kepada Chau Phya namun setelah sebulan sejak ditangkap, ia pun mati”.

‘Kompeni’ dalam surat ini adalah Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berpangkalan di Pulau Pinang dan ‘perjanjian’ yang dimaksudkan itu adalah Perjanjian Burney 1826.

Selepas kegagalan ‘memujuk’ Perak menghantar ufti ini, tiada rekod yang menyatakan negeri Perak menghantar ufti Bunga Emas ke Siam. Ini kerana pada tahun 1828, negeri Perak bebas sepenuhnya dari ancaman dan gangguan Siam setelah Kapten James Low menguatkuasakan Perjanjian Burney 1826 dengan perjanjiannya sendiri (Perjanjian Low Oktober 1826) yang kontroversi itu melalui tindakan-tindakan ketenteraan dan inteligen ke atas pihak Siam selain tindakan aktif dari pasukan negeri Perak sendiri terutama para panglima Perak yang mengawal sempadan di sekitar Kerian dan perairan negeri Perak.

 

Jadi bolehlah dirumuskan, terdapat 5 peristiwa berkaitan Bunga Emas negeri Perak ke Siam ini:

 

1) 1819- Maklumat dari pihak kolonial menyatakan ufti Bunga Emas negeri Perak “dalam perjalanan dari Pasir Garam menuju ke Bangkok” tanpa mengesahkan adakah ia benar-benar diterima oleh pihak Siam. Hakikatnya hasrat pihak Siam itu tidak pernah tertunai dan ini menyebabkan Siam melancarkan peperangan dengan Kedah dan Perak pada tahun 1821. Serangan mengejut 1821 itu adalah bukti jelas bahawa ufti Bunga Emas yang “masih on the way” itu sebenarnya tidak pernah sampai ke Bangkok.

 

2) Penghujung 1821- Siam melalui Ligor menyerang Perak dengan hasrat memaksa Perak tunduk dan menghantar ufti Bunga Emas ke Siam. Namun gagal kerana Siam ditewaskan pada tahun berikutnya oleh gabungan pasukan Perak dan Selangor.

 

3) Di antara tahun 1821-1824, sultan Perak telah menghadiahkan seekor gajah kepada raja Siam dan dengan itu melepaskan Perak buat sementara dari tekanan tuntutan ufti Bunga Emas.

 

4) 1824- Siam berjaya menekan Perak dengan mengulangi tuntutan ufti Bunga Emas. Perak akur dan ‘cuba menghantar’ ufti Bunga Emas bersama 205 bahara timah. Namun gagal apabila dipintas pasukan Selangor dan semua persembahan itu disita.

 

5) 1827- Raja Ligor memujuk dengan menghantar hadiah-hadiah seperti sutera dan berjanji akan menghantar beras dan gula. Namun gagal kerana sultan Perak bertegas enggan menuruti kehendak Siam.

 

 

 

 

Rujuksilang

 

Adalah teramat penting kita membuat rujuksilang di antara sumber kolonial dan sumber tempatan. Untuk mengkaji situasi ini, selain sumber-sumber kolonial, sumber tempatan seperti Cempakasari Negeri Perak adalah penting sebagai ‘checks & balances’ untuk mengelakkan penulisan sejarah asing mendominasi rumusan sejarah kita.

Saya suka buat rujuksilang begini; sebagai contoh, Siam kononnya menakluk Perak 1821 kalau ikut sesetengah catatan surface kolonial (dan dipercayai bulat-bulat oleh sesetengah orang). Akan tetapi kita mesti menjawab soalan-soalan ini:

1) Apakah struktur pentadbiran Siam di Perak? Pernah baca dan dengar tak? Setakat ini memang tiada. Rekod pentadbiran Siam di Kedah memang ada, gabenornya pun ada. Pangkalannya di Alur Ganu. Rekod ada sebab memang Kedah telah jatuh ke tangan Siam. Benda ini terang lagi bersuluh. Sebaliknya sejarah pentadbiran Siam di Perak kedengaran amat janggal dan asing, tidak pernah didengar dan tercatat dalam mana-mana sumber.

Jepun menjajah kita lebih kurang 3 tahun saja, tetapi rekod pentadbiran, struktur pentadbiran, di mana pusat pentadbirannya semua kita boleh dapat secara terperinci. Sebab memang benar Jepun telah menjajah ketika itu malah rekod dan cerita-ceriti pengalaman dari sebelah kita memang ada. Kisah-kisah keperitan di zaman Jepun dan sebagainya. Ini maksudnya rujuksilang tu.

2) Adakah sebab kononnya Kedah melanggar Perak sebelum itu, maka apabila Siam menewaskan Kedah, Perak sekaligus bawah Siam? Tapi hakikatnya sultan Perak tetap bertakhta dan memerintah negeri Perak tanpa apa-apa gangguan. Ini benar-benar berlawanan dengan situasi di Kedah apabila sultan Kedah terpaksa berundur sehingga ke Melaka. Jawapannya sebab Perak telah menewaskan Siam hasil bantuan Selangor tahun 1822. Sumber Arkib dan Cempakasari Negeri Perak malah sumber asing mengesahkan perkara ini seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Jadi, ini memang menjawab mengapa tiada langsung sejarah pentadbiran Siam di Perak. Rekod dari sebelah kerajaan Perak pun tiada.

3) Ini juga satu persoalan yang boleh ditimbulkan berkenaan Kedah melanggar Perak. Walaupun ia ada disebut dalam sesetengah rekod kolonial, tapi apakah struktur pentadbiran Kedah di Perak? Jika dicari memang tiada. Apa yang ada dari sebelah pihak kerajaan Perak, dalam Cempakasari Negeri Perak ada menyatakan kedua pihak telah membuat perdamaian melalui perkahwinan, jadi ini menjawab dengan persoalan jika Perak benar-benar bawah Kedah, mengapa sultan Perak masih memerintah dengan stabil? Sejauh mana kekuasaan Kedah ke atas Perak? Apakah buktinya? Adakah kena hantar ufti? Ada berubah atau tidak wilayah-wilayah Perak sepertimana Siam memecahkan wilayah Kedah dan Patani? Catatan kolonial ada menyebut perihal Raja Muda dinaikkan menjadi sultan, namun ini tidaklah menjadi isu kerana sememangnya selepas kemangkatan Sultan Abdul Malik, Raja Muda naik. Siapa Raja Muda? Anak Sultan Abdul Malik sendiri, yakni Sultan Abdullah Muadzam Shah!

Jadi rekod dari sebelah Perak merumuskan:

*Fasa pertama pasukan Kedah tewas.
*Fasa Kedua, Kedah menyerang lagi, tetapi diamankan dengan diplomasi dari pihak Perak melalui cara perkahwinan.

4) 1827, Siam masih memujuk Perak tunduk dengan menawarkan sutera, beras dan lain-lain hadiah kepada Perak. Ini ada dalam catatan kolonial seperti di dalam A History of Perak. Ini aneh, Jika Perak ketika itu disangka di bawah Siam seperti sesetengah orang (sebab kononnya Perak bawah Kedah, jadi Kedah sekarang bawah Siam, automatik Perak bawah Siam) mengapa Siam terhegeh-hegeh ingin memberi hadiah dan memujuk Sultan Abdullah Muadzam Syah?

Jadi sebenarnya “Siam menakluk Perak” adalah berdasarkan falasi saja dari premis: Perak ‘ditakluk’ Kedah, Kedah jajahan Siam jadi Perak bawah Siam. Ini logik Siam sahaja sebab bila Sri Dharmaraja (Ligor) masuk mandala Ayutthaya, maka semua negeri bawahan Ligor diklaim Siam.

Sesetengah orang tidak nampak hal-hal sebegini – sebab dia membaca di sebelah pihak sahaja yakni historiografi pihak penjajah, penulisan penjajah kepada sejarah dia. Tapi dia tidak mahu mendengar dari historiografi tempatan. Rekod tempatan. Catatan-catatan orang kita.

Di dalam buku saya Rentaka Sekalian Bijasura dalam bab Seven Years’ War Perang Perak-Siam, meliputi kedua-dua catatan penjajah dan tempatan. Bab yang belum pernah muncul dalam mana-mana penulisan sejarah rasmi dek kerana maklumat atau data-data mengenainya berterabur di sana-sini dan belum mendapat tapisan dan rumusan berpandukan dari pandangan tempatan. Saya seimbangkan antara kedua sumber. Pada masa yang sama, adalah diharapkan ada inisiatif penulisan sejarah pada masa akan datang yang fokus kepada bab konflik Perak-Siam ini dan menghuraikan dengan lebih mendalam dengan analisis yang lebih lengkap, dengan mengambil kira sumber sejarah tempatan dan catatan asing.

Jadi orang yg terlampau obses dengan penulisan sejarah penjajah biasanya tidak boleh terima hal ini dan sebab itu mereka merasa tidak selesa dengan pendekatan telus begini. Ini adalah kerana, mereka biasanya lack of skill untuk membikin analisis sejarah. Mereka lekas percaya dengan historiografi penjajah. Seolah-olah terdapat mindset bahawa, historiografi pihak penjajah always right.

Jadi adakah Bunga Emas dari Perak benar-benar ada di Bangkok? Benar-benar selamat tiba di Bangkok? Hakikatnya rekod atau catatan mengenai percukaian, pembuatan ataupun protokol persembahan ufti Bunga Emas langsung tiada dalam lipatan sejarah negeri Perak.

 

pertiwiwangsasura

 

 

 

 

~Srikandi

8164_496614033697160_1253703772_n

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

7 Responses to “ Adakah Bunga Emas Dari Negeri Perak Benar-benar Selamat Tiba ke Bangkok? ”

  1. Salam pihak historianlodge…
    Benarkah Perak pernah hantar ufti kpd Siam di masa Sultan Mansur Syah 2..
    Sekian.

  2. Bagus info ini. Boleh beritahu kepada pelajar didalam kelas.

  3. Terbaik info ni…..

Leave a Reply to Pengetua TheHistorian SS Cancel reply