Ulasan Buku: Perjuangan Sungai Batu – Sebuah Memoir

Akhirnya terbit satu buku dari seorang yang rapat dengan perjuangan menyebarkan maklumat berkaitan tapak arkeologi Sungai Batu. Apakah isu yang sebenarnya berputar-putar di sana? Srikandi mengulas…

 

 

====================================================================

 Jabatan Sejarah
The Historian Secret Society
.
kredit: Khairul Akmal Hishamuddin & laman Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara
Untuk membeli buku terbaru Srikandi, Semberani Sang Bidasari, sila klik: SEMBERANI SANG BIDASARI

    ====================================================================

 

 

 

PERJUANGAN Sungai Batu – Sebuah Memoir itulah nama naskhah yang begitu menarik grafik kulit mukanya. Pada awalnya saya ingatkan Thor – dewa Jermanik yang terkenal dengan tukul perangnya tapi sosok yang kelihatan sedang bekerja menempa sebilah keris! Pasti ada sesuatu yang unik ingin diberitahu di dalam karya ini.

 

sgbTU

 

Karya ini adalah nukilan Nur Dini, salah seorang pentadbir laman Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara, yang mana beliau membahasakan dirinya sebagai ‘adminah’ kepada para pembaca laman tersebut. Karya ini diterbitkan oleh Patriots Publication.

Kita akan menyelongkar lebih dalam buku ini…

 

Buku ini terdiri dari 6 Bab:

 

1) Ketuk Pintu Sungai Batu

2) Senyuman Lelaki Berjubah Putih

3) Bermain Dengan Pedang Qalai

4) Sungai Batu Di Abad 21

5) Tunas Hijau Dari Tuaian

6) Kedah Tua – Catatan Ilmiah Berpaksi Ilmu Arkeologi

 

 

Bab 1: Ketuk Pintu Sungai Batu

 

Bab ini menjelaskan isu besar yang melanda tapak bersejarah di Lembah Bujang, jika pembaca masih ingat bagaimana tapak-tapak candi disodok oleh jentolak pemaju kira-kira 5 tahun yang lepas. Tapak candi nombor 11.

Dari isu besar tersebut, penulis menceritakan bagaimana beliau membuat pertemuan pertamanya dengan Prof. Dato’ Dr. Mokhtar Saidin, orang penting di sebalik Tapak Arkeologi Sungai Batu. Dari tugasan menemuramah dan mengumpul maklumat berkenaan tapak arkeologi tersebut, penulis bersama kumpulannya telah menganjurkan pula satu program bersama menteri besar bagi menghebahkan lagi kewujudan tapak arkeologi yang penting ini kepada masyarakat.

 

 

Bab 2: Senyuman Lelaki Berjubah Putih

 

Masuk bab ini awal-awalnya kita akan dihidangkan beberapa maklumat mengagumkan tentang Sungai Batu. Salah satunya ialah,

“…tapak di mana jutaan besi dileburkan 400 tahun sebelum Masihi. Besi-besi dilebur di dalam sebuah relau yang dibina dari tanah liat. Pencampuran bijih-bijh besi dilakukan dengan teliti bagi menghasilkan besi lebur yang terbaik untuk ditempa. Bijih-bijih besi dimasukkan bersama arang batu dan dibakar sehingga suhu mencapai 1600° Celsius. Api di dalam relau dipastikan nyalaannya dengan tiupan angin melalui tuyere yang berukuran 8 inci. Tuyere ialah alat peniup angin yang diletakkan di dinding relau. Aliran udara dikekalkan dalam keadaan baik sehingga suhu mencapai 1600°C. Apabila terlebur, cairan besi mengalir keluar dari mulut di bahagian bawah relau. Ia diambil dengan cara relau dipecahkan dan dilonggokkan di atas longgokan besi yang sudah siap untuk ditempa.”

Banyak lagi maklumat lain seperti kajian satelit yang mendapati Lembah Bujang pada abad pertama hingga ke-3, terutamanya Sungai Mas dan Pengkalan Bujang yang terkenal dengan tinggalan candi-candi, masih berada di bawah paras air laut.

Bab ini berjaya menaikkan semangat inkuiri saya.

 

 

Bab 3: Bermain Dengan Pedang Qalai

 

Ada satu ‘nilai tambah’ dalam buku ini – yakni penulis bercerita pasal masalah-masalah dirinya dan pasukan yang terlibat dalam program di Sungai Batu. Perkara ini disambung dari bab yang pertama. Perpecahan dalam pasukan. Ini memang membosankan. Malah saya mengesan puncanya apabila melibatkan wang, apabila kumpulan penulis buku ini menubuhkan syarikat dari persatuan mereka untuk perkara-perkara seperti mengumpul dana dan sebagainya.

Bab ini awalnya menyentuh tentang isu-isu tanah di Sungai Batu, di mana penulis sendiri terlibat dalam penjualan tanah bagi mengekalkan warisan sejarah. Terdapat juga isu pemaju yang berhasrat ingin  memajukan tanah berhampiran tapak arkeologi dan dari isu inilah kerajaan negeri diserang bertalu-talu sehinggakan laman penulis sendiri terpaksa ditutup.

Anda boleh baca apa yang berlaku ketika itu. Cuma semasa kejadian itu, saya memikirkan laman mereka ini digodam. Malah khabar-khabar angin juga menyatakan begitu. Tetapi di dalam buku ini, ia didedahkan mengapa dan siapa.

Seterusnya usaha membangunkan Sungai Batu, yang diceritakan secara dramatik! Ini kena baca juga. Foto ini cukup untuk menceritakan segala-galanya.

 

dini

 

 

Bab 4: Sungai Batu Di Abad 21

 

Bab ini melampirkan penerangan Prof. Dato’ Dr Mokhtar yang direkodkan semasa taklimat khas bersama Pegawai Daerah Kuala Muda.

Apa nak dikatakan, ia macam anda menonton slide dari prof sendiri. Juga dipenuhi gambar-gambar.

 

 

Bab 5: Tunas Hijau Dari Tuaian

 

Awal bab ini penulis menceritakan sebab beliau meninggalkan kerja-kerja aktivisme di tapak arkeologi Sungai Batu. Ada diceritakan tentang apa yang dibuatnya sejak menjauhkan diri dari Sungai Batu.

Kemudian dirakamkan tentang Festival Kedah Tua. Wow… ini tahun 2016, buku saya Baiduri Segala Permaisuri keluar malah festival tersebut saya sendiri aktif mewarwarkannya ke tengah masyarakat dan kegiatan saya itu telah dirakamkan dalam buku saya Rentaka Sekalian Bijasura yang keluar pada tahun 2017.

 

ren5blog

 

 

fkedahtua

 

 

 

Bab 6: Kedah Tua – Catatan Ilmiah Berpaksi Ilmu Arkeologi

 

Bab ini menyambung sedikit maklumat tentang tapak arkeologi di Sungai Batu dan latarbelakang Lembah Bujang serta Kedah Tua. Ia berpandukan tesis pelajar di Perpustakaan Mini Kataha di Tapak Arkeologi Sungai Batu dan lain-lain.

Memang penuh maklumat yang mana ia cenderung kepada maklumat akademik dan bukan pemerhatian arkeologi. Dapatan arkeologi pun sebenarnya bergantung kepada cerakinan sejarah yang juga berpandukan sumber-sumber sejarah tempatan dan rekd-rekod sejarah dari dalam dan luarnegara.

 

KESIMPULAN

 

Tugas sebagai sukarelawan di Tapak Arkeologi Sungai Batu menjadikan buku ini unik dan bernilai sebagai ‘kerja lapangan’ yang sebenar. Ini menjadikan penulis layak menulis dan berkongsi segala-galanya tentang Sungai Batu. Tidak perlu orang yang mengaku ‘sejarahwan’ poyo yang bergantung harap kepada beratus bibliografi dan berkoyan-koyan notakaki namun hanya sembang terbang bergerak di sebalik buku-buku dan menyorok di sebalik pendingin hawa saja. Kita perlukan AKTIVIS SEJARAH yang benar-benar mendedikasikan dirinya kepada mahakarya sejarah yang ditumpukannya, bukannya penulis jenglot yang sembang terbang saja tapi punggungnya tidak bergerak untuk membantu tapak-tapak bersejarah.

Saya sendiri pernah membaca komen seorang penulis buku sejarah poyo yang menghentam penulis Perjuangan Sungai Batu – Sebuah Memoir sebagai orang yang tidak ada kelayakan, bukan profesor sejarah pun nak bercakap tentang Sungai Batu. Malah lamannya dikutuk sebagai laman sampah dan dongeng.

Persembahan buku ini sebenarnya agak meleret-leret, seperti membaca diari seseorang, namun yang mahalnya ialah pengalaman penulis dan maklumat dalam buku ini yang diambil terus dari Profesor Mokhtar sendiri dan para pelajarnya.

 

TPPestabuku

 

Kepada pencinta sejarah tanahair dan peminat sejarah Tamadun Sungai Batu, anda boleh membeli buku ini di di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 yang sedang berlangsung sekarang (ketika ulasan ini ditulis) sehingga 7 April 2019 sementara stok masih ada. Untuk pembelian dalam talian, sila hubungi The Patriots

 

~Srikandi

Leave a Reply