Misteri Syahrun Nuwi

Di dalam Sulalatus Salatin, ada disebutkan tentang sebuah tempat bernama Syahrun Nuwi. Adakah ini nama tempat yang sengaja diada-adakan oleh Sulalatus Salatin yang dianggap fiksyen dan dongeng oleh sesetengah orang, malah profesor sejarah juga?

 

 

 

 

====================================================================

 Jabatan Sejarah
The Historian Secret Society

    ====================================================================

.

.

.

.

Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) adalah riwayat kepada Kesultanan Melaka; fungsi yang sama dimainkan oleh Shahnameh kepada Parsi Sassanid atau Pararaton yang ditulis untuk meriwayatkan sejarah Singhasari dan Majapahit. Adalah penting untuk menyorot kepentingan naskah ini sama seperti kita mengkaji naskah riwayat lain, sama ada dalam lingkungan Nusantara atau di luarnya.

Kali ini saya ingin mengajak anda memerhatikan perkataan ‘Syahrun Nuwi’ yang ada dicatat di dalam Sulalatus Salatin.

Perhatikan petikan dari Sulalatus Salatin ini:

 

Alkisah maka tersebutlah perkataan. raja Syahru’n-Nuwi; terlalu besar kerajaannya, dan terlalu banyak hulubalang dan rakyatnya tiada terpemanai lagi. Maka dikhabarkan orang kepada raja Syahru’n Nuwi, negeri Pasai terlalu ramai, segala dagang dan saudagar banyak dalam negeri Pasai, dan rajanya terlalu besar kerajaannya. Maka raja Syahru’n-Nuwi pun bersabda kepada segala hulubalangnya, “Siapa dapat menang­kap raja Pasai?” Maka ada seorang hulubalangnya, terlalu gagah berani, Awi Dicu namanya; maka sembahnya, “Ya tuanku, jikalau ada kumia duli tuanku, empat ribu hulu­balang diberi akan Hamba, Hambalah menangkap raja Pasai itu, dan membawa dia dengan hidupnya ke bawah duli tuan­ku.”

 Maka oleh raja Syahru’n Nuwi diberinya hulubalang empat ribu dan seratus buah sum, diserahkannya kepada hulubalang itu, maka berlengkaplah ia. Setelah mustaed maka Awi Dieu pun belayarlah ke Pasai pura-pura bemiaga sum yang banyak itu; akan dirinya dikatakannya utusan Raja Syahru’n Nuwi. Setelah didengar oleh Sultan Maliku’t-Tahir bahawa utusan raja Syahru’n-Nuwi datang, maka disuruh baginda alu-alukan, serta suratnya disuruh sambut pada segala hulubalang baginda.

(versi A. Samad Ahmad)

 

Sepertimana perkataan ‘Kuci’ (raja Kuci) dalam Sulalatus Salatin yang merujuk kepada wilayah Giao Chỉ (dinisbatkan kepada wilayah-wilayah Dai-Viet) yang kemudiannya disebut sebagai Cochinchina oleh pedagang Portugis, perkataan Syahrun Nuwi itu sendiri mampu dibuktikan dengan analisis dan rujuksilang dan membuka kepada kita sejarah hubungan negeri-negeri Melayu dengan entiti politik sekitarnya.

Peta-peta Itali seperti peta oleh Fra Mauro yang meletakkan perkataan ‘Scierno’ di dalam peta Indochina mereka adalah berasal dari kata ‘Shahr-i Nau’ oleh pengembara Parsi, yang merujuk kepada satu penempatan baru di sekitar lembah sungai Chao Phraya. Perkataan ‘Shahr-i Nau’ ini amat popular di kalangan pengembara dan pedagang di Asia Barat ketika itu dan ini mempengaruhi para kartografer Eropah pada abad ke-15.

 

 

syahrunnnuwi

 

 

Mengapakah ia disebut ‘Shahr-i Nau’ atau Kota Baharu?

Jawapan kepada soalan ini merentasi kira-kira 300 tahun sebelum peta Fra Mauro itu, ketika Kyansittha, raja kerajaan Pagan telah menyerang kerajaan Lavo.

Serangan itu tidak mampu ditewaskan oleh Lavo sehingga menyebabkan mereka terpaksa berundur lebih ke selatan. Sebuah kota yang baru dibina di selatan berdekatan Teluk Siam oleh kerabat pemerintah kerajaan Lavo tersebut sebagai pangkalan baru kerajaan mereka dan untuk menghindari serangan dari Pagan.

Kota itulah yang dipanggil sebagai Syahru’n Nuwi atau Kota Baharu.

Semua peristiwa ini, sebab-sebabnya dan anekdot menarik tentang munculnya perkataan ini dalam Sulalatus Salatin ada dijelaskan dalam Kursani Segenap Bimasakti.

Jika anda telah membaca bab ini dalam Kursani Segenap Bimasakti, anda akan perasan bahawa Sulalatus Salatin bukanlah boleh dituduh-tuduh dengan mudah sebagai mitos dan dongeng, tetapi ia memang bertindak sebagai ‘chronicle’ yang mencatat riwayat atau merekod peristiwa ketika itu DALAM GAYA HISTORIOGRAFI YANG MENJADI TREND ketika itu.

 

~Srikandi

seriTHL

2 Responses to “ Misteri Syahrun Nuwi ”

  1. Wah.kota bharu kelantan kah?

Leave a Reply to Pengetua TheHistorian SS Cancel reply