Ulasan Buku: Mistik Alam Melayu

Mistik Alam Melayu adalah sebuah karya yang membincangkan perihal dunia mistik dan pengamalannya di Alam Melayu yang cenderung dari dapatan para pengkaji di zaman kolonial dahulu selain dari kajian tempatan sendiri.

Srikandi mengulas…

 

 

====================================================================

 Jabatan Sejarah
The Historian Secret Society
.
kredit: Helmi Effendy & The Patriots
Untuk membeli buku terbaru Srikandi, Semberani Sang Bidasari, sila klik:

    ====================================================================

 

 

 

“Mistik Alam Melayu”, begitulah tajuk naskhah yang sampai ke tangan saya untuk ulasan buku kali ini. Karya ini adalah nukilan Naim Tamdjis yang aktif menulis novel-novel seram dan misteri seperti Roh Rumah Sewa, Barongan, Kakak Kemboja, Musibat, Koc 13 dan sebagainya.

Mistik Alam Melayu diterbitkan oleh Patriots Publication yang aktif dalam mengeluarkan buku-buku bertema sejarah Melayu, sejarah umum, peperangan, tema dalam komik dan lain-lain.

Ia mengandungi 10 bab iaitu:

 

  1. R.O. WINSTEDT
  2. ALAM SEMESTA DAN MAKHLUK GHAIB MELAYU
  3. PERUBATAN MELAYU
  4. RITUAL MISTIK
  5. MITOS DAN LEGENDA
  6. HANTU DUNIA MELAYU
  7. SIHIR/ILMU HITAM
  8. PANTANG LARANG/PETUA
  9. PENUJUMAN DAN PERAMALAN
  10. KERIS DAN MISTIK

 

Tanpa membuang masa, saya ulas satu-persatu bab di dalam naskhah ini secara ringkas.

 

mam

 

 

 

1. R.O. WINSTEDT

 

Bab pertama ini memperkenalkan pembaca dengan sosok bernama R.O Winstedt. Mengapa? Ini kerana hasilkerjanya berkaitan topik mistik Melayu akan disentuh dalam banyak bahagian nanti.

Bab ini menceritakan latarbelakang sosok ini secara ringkas. Ada disentuh juga tentang karya-karyanya seperti Cheritera Jenaka; Itu Pa Kadok, Pa Pandir,Lebai Malang, Pa Balalang, Si Lunchai yang diterbitkan pada tahun 1908. Karyanya yang agung seperti Sejarah Perak, Sejarah Malaya, English-Malay Dictionary, Kitab Tawarikh Melayu dan sebagainya. Dua buah buku penting yang menjadi rujukan ialah Shaman, Saiva and Sufi: A Study of the Evolution of Malay Magic dan The Malay Magician, sebagaimana yang dipetik di dalam naskhah ini.

 

shaman

 

 

2. ALAM SEMESTA DAN MAKHLUK GHAIB MELAYU

 

Perbicaraan tentang konsep dunia mistik alam Melayu diambil dari dapatan pengkaji kolonial seperti Skeat, Wilkinson, Maxwell dan Winstedt sendiri. Terdapat juga pandangan dari pengkaji tempatan seperti Azlina, Yusmilayati, Mohd Taib Osman dan Mohd Luthfi.

Rata-rata konsep mistik di Alam Melayu berasal dari kepercayaan animisme, yang mana merupakan asas universal bagi semua bangsa-bangsa di dunia. Tinggal lagi penceritaan setiap bangsa itu pasti berbeza merujuk kepada pandangan hidup dan pengalaman masing-masing.

Bab ini pada akhirnya menyebut nama Amran Kasimin, yang terkenal dalam bidang perubatan Islam.

 

 

3. PERUBATAN MELAYU

 

Dalam bab ini disebut perbezaan antara bomoh, pawang, tabib dan dukun. Terdapat pandangan dari Winstedt dan pengkaji tempatan yang lain.

Saya tertarik dengan mantera dukun padi yang dikutip oleh Winstedt namun malangnya hanya didapati versi terjemahan dalam bahasa Inggeris:

 

Soul of my child, Princess Splendid!

I sent you to your mother for six months, to receive you growing tall in the seventh month.

 The time is fulfilled and I receive you. I told you to sail to the sea that is black, the sea that is green, the sea that is blue, and the sea that is purple, To the land of Rome, to India, China, and Siam.

 Now I would welcome you up into a palace hall, To a broidered mat and carpet.

(ada versi penuh dalam buku ini)

 

Apa kaitan menanam padi dengan berlayar di lautan jauh? Ini memperkuatkan pandangan saya tentang budaya maritim orang Melayu yang menjadi lambang tipikal kaum-kaum Polinesia.

Bab ini seterusnya menceritakan secara terperinci setiap jenis pengamal perubatan di Alam Melayu tersebut. Malahan ada satu ‘jawatan’ lagi yang ditambah pada akhir bab iaitu Mak Andam.

 

 

4. RITUAL MISTIK

 

Bab ini menjelaskan tentang ritual mistik yang muncul untuk tujuan perubatan, memuja semangat sehingga akhirnya berubah menjadi seni hiburan. Ia termasuklah main puteri, ulek mayang, sewang, makyung, menora dan sebagainya.

 

 

5. MITOS DAN LEGENDA

 

Bab ini menceritakan tentang mitos atau legenda yang mewarnai masyarakat di Alam Melayu pada masa dahulu. Ia termasuklah Geroda, Sang Kelembai, Raja Bersiong, Naga Tasik Cini, Puteri Santubong dan Sejinjang, Mahsuri dan sebagainya.

 

 

6. HANTU DUNIA MELAYU

 

Bab ini menceritakan jenis-jenis hantu yang dikenal dalam masyarakat di Alam Melayu. Ia seperti polong, penanggal, pocong, pelesit dan sebagainya.

 

7. SIHIR/ILMU HITAM

 

Bab ini berkisar tentang amalan ilmu hitam di Alam Melayu seperti tuju-tuju, minyak dagu, pelaris, pukau dan sebagainya.

 

8. PANTANG LARANG/PETUA

 

Bab ini dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu adat, pantang larang dan petua. Adat ini dilihat sebagai satu set hukum-hakam atau peraturan manakala pantang larang menjadi panduan atau petunjuk untuk menghindar perkara yang tidak baik atau tidak diingini. Manakala petua pula “adalah nasihat atau tunjuk ajar yang diberikan oleh seseorang mengenai sesuatu perkara atau nasihat yang boleh dijadikan panduan”.

 

9. PENUJUMAN DAN PERAMALAN

 

Bab ini menumpu kepada bidang astrologi Melayu; penujuman dan peramalan. Kita maklum bahawa ramalan Bintang Zodiak yang juga popular di sini datangnya dari dunia Barat. Sebagaimana orang di sebelah Barat yang memiliki tradisi astrologinya, begitu di Timur termasuk masyarakat di Alam Melayu.

Saya kongsikan ilmu-ilmu pernujuman Melayu yang disebut dalam naskhah ini, antaranya:

  1. Ilmu Bintang.
  2. Ramalan watak berdasarkan bintang.
  3. Takbir mimpi.
  4. Alamat pergerakan badan.
  5. Alamat binatang masuk ke rumah atau lalu berhampiran.
  6. Petua dan azimat
  7. Ilmu firasat.
  8. Ilmu Raksi
  9. Rejang atau ketika.

 

 

10. KERIS DAN MISTIK

 

Bab terakhir ini agak ringkas dalam menyentuh perkaitan dunia mistik dengan keris, sejenis senjata pendek yang terkenal di seluruh Alam Melayu. Antara topik yang disentuh adalah keris berdiri dan amalan mengasap serta memandikan keris.

 

 

KESIMPULAN

 

Keseluruhannya persembahan naskhah ini adalah sederhana dalam menyentuh topik berkaitan. Pada bab-bab awal, nampak sedikit serius dan ada unsur menarik inkuiri dalam diri pembaca.

Bermula topik Ritual Mistik sehingga ke hujung naskhah ini aliran pembacaan menjadi begitu santai – ya memang ada dinyatakan ianya bersifat santai namun ianya sehingga seolah-olah kita membaca maklumat tentang alam mistik dan perbomohan Melayu dalam majalah/tabloid misteri seperti Variasari, Mastika dan sebagainya. Kepada yang pernah membaca majalah-majalah demikian mungkin akan merasai aura sebegitu. Cuma apabila menyebutkan nama Winstedt dan lain-lain pengkaji  menyuamkan kembali getaran majalah-majalah misteri tadi. Namun ada bezanya.

Beza yang paling ketara ialah, persembahan penulis yang agak menarik dengan menjalinkan unsur-unsur inkuiri tadi dengan trend misteri dalam majalah terbabit kemudian diberitahu sumber rujukannya sekali, ini yang memberi kelebihan kepada naskhah ini. Jadi, anda bukan sekadar membaca bahan yang entah datang dari mana, tetapi ia bersifat akademik juga kerana ia bersumberkan rekod dan catatan para pengkaji sejak zaman kolonial lagi.

Saya mencadangkan jika ada edisi kemaskini nanti, ada ulasan atau perbandingan antara dapatan pengkaji kolonial dengan pengkaji tempatan, atau, satu analisis tentang satu-satu topik yang menampilkan persamaan dapatan kedua-dua jenis pengkaji tadi.

Namun apa yang bagusnya naskhah ini, ia seperti satu dokumentasi berpusat yang mengumpulkan pelbagai bidang dan topik dalam dunia mistik dan perubatan tradisional Melayu dalam satu naskhah. Ini adalah usaha yang bagus dan boleh dijadikan antara rujukan cepat bagi topik-topik berkaitan.

Malah ianya dilengkapi dengan sumber rujukan atau bibliografi di akhir buku.

 

TPPestabuku

 

Para pembaca dan pemburu dunia mistik di Alam Melayu, anda boleh mendapatkan buku ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 yang sedang berlangsung sekarang (ketika ulasan ini ditulis) sehingga 7 April 2019 sementara stok masih ada. Untuk pembelian dalam talian, sila KLIK sini: MISTIK ALAM MELAYU.

 

~Srikandi

Leave a Reply