Prasasti Sungai Mas II, Kedah

Prasasti Sungai Mas II adalah sebuah prasasti yang ditemui di Kampung Sungai Mas di Mukim Kota, daerah Kuala Muda, Kedah Darul Aman. Ia ditulis dalam skrip Pallava, dalam bahasa Sanskrit.

 

 

 

 

 

====================================================================

 Jabatan Sejarah
The Historian Secret Society
Kredit:
Nasha Rodziadi Khaw, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Nazarudin Zainun, dan Mokhtar Saidin, ”Prasasti Sungai Mas II: Satu Tinjauan Paleografi”, Seminar Penanda Arasan Penyelidikan Arkeologi di UKM, Anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu, 12-13 Julai 2010, Bilik Senat dan Bilik Majlis Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

    ====================================================================

 

 

 

 

 

 

 

Prasasti Sungai Mas II adalah sebuah prasasti yang ditemui di Kampung Sungai Mas berlokasi di candi Tapak 32. Ia ditemui sekitar tahun 2007 yang lalu. Prasasti tersebut diketahui berasosiasi dengan penemuan lakaran persembahan dan  serpihan arca tangan Buddha. Prasasti Sungai Mas II sehingga kini merupakan salah satu daripada tiga prasasti yang ditemui di Lembah Bujang yang mengandungi formula mantra aliran Madhyamaka dari mazhab Buddha Mahayana.

 

prasastisgmas2sri

prasastisgmas2bsri

 

Pemerhatian awal terhadap Prasasti Sungai Mas II menunjukkan bahawa ia memiliki bentuk aksara yang agak unik jika dibandingkan dengan prasasti-prasasti lain Asia Tenggara sama ada di kawasan kepulauan mahupun di tanah besar. Di dalam makalah yang disediakan oleh pakar-pakar arkeologi dan sejarah negara kita ini, tinjauan awal terhadap Prasasti Sungai Mas II telah diberikan, dari aspek paleografi untuk menjawab beberapa persoalan penting mengenai prasasti tersebut, seperti pentarikhan, kemahiran citralekha, serta pengaruh kebudayaan yang wujud.

 

 

Kajian Penuh

 

Pendahuluan

 

Kedah Tua merupakan sebuah kota pelabuhan yang terletak di Lembah Bujang, iaitu sebuah kawasan yang merangkumi Lembah Sungai Muda di Selatan hingga ke Sungai Sala di Utara. Ia meliputi daerah Seberang Perai Utara, Kuala Muda, Yan, dan Kota Setar. Secara keseluruhan, Lembah Bujang memiliki keluasan lebih kurang 369 kilometer persegi. Kawasan tersebut ditakrif berdasarkan lokasi-lokasi penemuan arkeologi yang tertabur di sekitar kedua-dua lembah sungai tersebut. Berdasarkan kepada penemuan arkeologi terkini, Kedah Tua diketahui telah mula wujud sebagai sebuah penempatan dan pelabuhan dagang pesisir Selat Melaka sejak kurun ke-3 Sebelum Masehi [SM] hingga kurun ke-13 Masehi [M].  Penemuan arkeologi yang wujud di Lembah Bujang terdiri daripada runtuhan candi-candi Hindu-Buddha, seramik-seramik asing, manik, dan serpihan arca-arca Hindu-Buddha.[1]

 

Seperti juga tapak-tapak arkeologi zaman klasik lain di Asia Tenggara, wujud penemuan-penemuan prasasti yang memiliki pengaruh India di Lembah Bujang. Prasasti-prasasti tersebut telah ditemui hasil daripada kerja-kerja tinjauan atau ekskavasi arkeologi yang telah dijalankan para pengkaji Low[2], Evans[3], dan Quaritch-Wales[4]. Di samping itu, terdapat juga prasasti lain yang ditemui secara tidak sengaja.[5] Sehingga kini, telah ditemui sebanyak 13 buah prasasti di Lembah Bujang. Prasasti-prasasti tersebut adalah Prasasti Bukit Meriam, Prasasti Cherok Tokkun, Prasasti Buddhagupta, Prasasti Bukit Choras (Tapak Satu), Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2), Prasasti Kepingan Perak Tapak 10, Prasasti Kepingan Emas Tapak 8, Prasasti Kepingan Bata Pengkalan Bujang, Prasasti Sungai Mas I, dan Prasasti Cembul Perak Tapak 14.[6] Kesemua prasasti tersebut ditemui dari tahun 1850 hingga 1980. Prasasti-prasasti yang baru ditemui di dalam penyelidikan terkini di Lembah Bujang termasuklah Prasasti Kepingan Emas Sungai Batu[7], Prasasti Sungai Batu[8], dan Prasasti Sungai Mas II.[9]

 

Penelitian dari aspek paleografi terhadap prasasti-prasasti Lembah Bujang telah dilakukan oleh beberapa orang sarjana. Antaranya adalah Allan[10], Bosch[11], De Casparis[12], Chakravartin[13], Laidlay[14], Chhabra[15], Kern[16], Dani[17] danChristie[18]. Sarjana-sarjana seperti A. H. Dani, Allan, Bosch, De Casparis, Chakravartin, dan Allan telah memberi perhatian khusus kepada Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2), Prasasti Kepingan Perak Tapak 10, dan Prasasti Bukit Choras (Tapak 1), Chhabra dan Kern telah membahaskan hal mengenai prasasti Buddhagupta manakala Laidlay merupakan satu-satunya sarjana yang memberi huraian mengenai Prasasti Cheruk Tokkun. Christie pula telah menjalankan penelitian beliau terhadap Prasasti Sungai Mas I. Perkara-perkara utama yang diberi perhatian di dalam penelitian mereka termasuklah persoalan mengenai pentarikhan dan pengaruh budaya yang dimiliki disebalik gaya penulisan prasasti-prasasti tersebut.

 

Pada tahun 2007, kerja-kerja ekskavasi arkeologi yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia di Kampung Sungai Mas telah membawa kepada penemuan sebuah Prasasti di tapak candi 32. Prasasti tersebut ditemui bersama dengan lakaran persembahan[votive tablet] dan serpihan tangan arca Buddha. Prasasti tersebut dinamakan sebagai Prasasti Sungai Mas II. Penemuan terbaru tersebut telah membuka ruang kepada pengkaji tempatan untuk menganalisis prasasti tersebut, dan menguji hipotesis-hipotesis yang telah dikemukakan oleh para pengkaji sebelumnya mengenai paleografi Kedah Tua. Makalah ini akan cuba membahaskan Paleografi Prasasti Sungai Mas II untuk menjawab persoalan-persoalan asas mengenai prasasti tersebut seperti pentarikhan dan pengaruh budaya yang wujud.

 

 

Gambaran Prasasti Sungai Mas II

Prasasti Sungai Mas II terdiri daripada Batu Sabak yang dipahat pada dua belah permukaannya. Ia memiliki panjang 145 mm,  lebar di sebelah kanan 18 mm dan di sebelah kiri 25 mm (Rujuk Foto 1 dan 2). Diperhatikan bahawa permukaan prasasti tersebut telah dilicinkan terlebih dahulu sebelum diukir. Wujud kesan pecah yang jelas di bahagian kiri, permukaan atas dan bawah prasasti tersebut. Pada bahagian yang telah pecah, cuma sebahagian kecil sahaja daripada aksaranya yang dapat dibaca. Walau bagaimanapun, isi kandungan prasasti tersebut pada bahagian yang telah pecah atau hilang dapat diramal hasil perbandingan dengan prasasti-prasasti lain yang memiliki isi kandungan yang sama. Berdasarkan pengamatan terhadap kesemua aksara yang dapat dibacakan, kemungkinan besar Prasasti Sungai Mas II merupakan salah satu serpihan/pecahan dari prasasti yang lebih besar/panjang yang masih belum ditemui.

 

Seperti yang telah diterangkan, Prasasti Sungai Mas II ditemui bersama-sama dengan penemuan Candi Tapak 32. Keberadaan prasasti pada lokasi tersebut kemungkinan berkaitan dengan amalan sesetengah penganut agama Buddha Mahayana yang menyimpan prasasti berisi formula mantra tersebut di bahagian dasar candi.[19] Prasasti Sungai Mas II mungkin juga merupakan persembahan yang diberikan oleh penganut kepada candi tersebut.[20] Prasasti sebegini biasanya dipersembahkan oleh golongan bhiksu serta penziarah yang ingin mengumpul dharma mereka.[21] Prasasti ringkas yang berisi mantra tersebut banyak ditemui di dalam runtuhan-runtuhan stūpa di Barhut, Sanchi dan Nagarjunikonda di India.[22] Oleh yang demikian, penemuan prasasti yang berkemungkinan besar berasosiasi dengan monumen yang diekskavasi telah sekali lagi menjawab persoalan tentang pengaruh keagamaan tapak tersebut.

 

Kerja pemahatan prasasti dilakukan oleh Citralekha, iaitu tukang yang memiliki kemahiran di dalam kerja-kerja mengukir batu atau logam.[23] Walau bagaimanapun, isi kandungan sesebuah prasasti ditentukan terlebih dahulu oleh golongan brahmana ataupun artisan yang bertanggungjawb untuk menyediakan draf prasasti tersebut terlebih dahulu.[24]Setelah draf tersebut sama ada akan dilakar di atas satu lembar yang berasingan, ataupun dilakar terus ke atas permukaan batu dengan menggunakan kapur, arang, ataupun dakwat.[25] Citralekha seterusnya akan memahat permukaan batu berdasarkan kepada draf dan panduan yang telah disediakan oleh artisan ataupun brahmana tersebut.[26] Berdasarkan kepada skop kerja seorang citralekha, tidak semestinya beliau mampu membaca aau faham aksara yang dipahat.

 

Pada  permukaan prasasti yang diukir, wujud dua barisan formula mantra. Formula mantra tersebut dapat ditemui di dalam penulisan Sāgaramatiparipŗccha. Ia merupakan karya dari aliran Madhyamaka dari Mazhab Buddha Mahayana.[27] Dari segi isi kandungannya, ia memiliki persamaan dengan Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2).[28] Berikut adalah bacaanterhadap Prasasti Sungai Mas II:

 

 

Foto 1:

Permukaan Pertama Prasasti Sungai Mas II

 

prasastisgmas2sri

 

Sumber: Foto koleksi peribadi

 

Bacaan

Barisan 1:  balāni daśa catvāri ……. [vai?]

Barisan 2:  aṣṭā daśa ca buddhanaṃ …….. dharm(m)ā

 

 

Foto 2:

Permukaan Kedua Prasasti Sungai Mas II

 

prasastisgmas2bsri

 

Sumber: Foto koleksi peribadi

Bacaan

Barisan 3:        jānite ya imā ko(ţi) …………

Barisan 4:        tasya koţī gataṃ jñānaṃ …………..

 

Berikut pula adalah isi kandung Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2) sepertimana yang telah dibacakan oleh penulis berdasarkan gambar foto.[29]

Barisan 1:        balāni daśa catvāri vaiśaradyāni yāni ca

Barisan 2:        așţādaś a ca buddhānāṃ dharmmā āveṇīkā hi ye

Barisan 3:       ye pratītyasamutpannā na te kecit svabhāvataḥ[30]

Barisan 4:        ye svabhāvā[31] na vidyante na teșāṃ saṃbhavaḥ[32] kvacit

Barisan 5:       jānite ya imāṃ koţim=a koţi[33] jagatas=samāṃ[34]

Barisan 6:       tasya koţi[35] gataṃ jñānaṃ sarvva dharmmesu vartate

 

Daripada pembacaan yang telah dibuat terhadap Prasasti Sungai Mas II dan Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2), diperhatikan bahawa barisan 1-4 untuk Prasasti Sungai Mas II adalah bersamaan dengan barisan 1, 2, 5, dan 6 Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2).  Walau bagaimanapun, cuma separuh dari aksara keempat-empat barisan Prasasti Sungai Mas II dapat dibacakan. Melalui perbandingan ini, kemungkinan besar bahagian prasasti yang telah pecah mengandungi isi kandungan yang sama dengan bahagian kedua barisan 1 dan 2, serta barisan 3 dan 4 Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2).

 

Paleografi Prasasti Sungai Mas II

            Prasasti Sungai Mas II merupakan salah satu daripada 13 buah prasasti Kedah Tua yang dipahat dengan menggunakan aksara Pallava. Oleh kerana Prasasti Sungai Mas cuma merupakan serpihan daripada prasasti yang lebih besar, penelitian terhadap gaya penulisan menjadi agak terhad. Secara keseluruhan, cuma terdapat 20 daripada 36 huruf yang wujud di dalam aksara Pallava di dalam  prasasti tersebut,[36] dan wujud 5 dari 36 huruf terbitan sahaja.[37] Walau bagaimanapun, huruf-hurufnya masih boleh dianalisis dari aspek paleografi kerana walaupun prasasti tersebut wujud dalam bentuk serpihan kecil, hurufnya masih dapat dibaca dengan jelas.

 

Secara kasar, diperhatikan bahawa Prasasti Sungai Mas II tidak dipahat dengan kemas dan teliti,serta memiliki gaya pemahatan yang kurang konsisten. Hal ini dapat dilihat dengan kedalaman pahatan yang berbeza-beza dan tidak sekata. Di samping itu, penggunaan huruf prasasti ini adalah juga tidak konsisten. Hal ini dapat dilihat dengan  penggunaan bentuk huruf yang berbeza untuk bunyi yang sama. Huruf tersebut adalah seperti huruf ba.[38] Dari segi susunan huruf yang membentuk baris-baris ayat, barisan yang berada di bahagian kiri dan kanan adalah tidak tidak seiring. Hal ini adalah berbeza berbanding dengan Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2) yang mempunyai baris kiri dan kanan yang yang seiring.[39]

 

Prasasti Sungai Mas II memiliki serif yang agak berbeza jika dibandingkan dengan serif-serif yang digunakan di dalam prasasti lain di Asia Tenggara sebelum kurun ke-8 Masehi. Diperhatikan bahawa aksara Sungai Mas II  memiliki serif berbentuk titik bulat seperti Prasasti Tugu. Walau bagaimanapun, kebanyakan huruf  Prasasti Sungai Mas IImemiliki serif yang mempunyai dua titik bulat yang disambung oleh garisan mendatar walhal Prasasti Tugu cuma memiliki satu titik bulat sahaja sebagai serifnya. Huruf-huruf yang memiliki serif sebegini adalah huruf a, ka, ga, ta, da dha, na, ţa, ca, śa, șa, sa, ra dan ya. Huruf ba dan ja tidak memiliki serif, manakala huruf ma yang memiliki dua garisan miring ke kiri dan kanan yang memiliki satu serif bulat pada hujung setiap garisan. Selain daripada prasasti Tugu[40], prasasti yang diketahui turut menggunakan serif berbentuk bulat adalah prasasti Vo-Canh[41], dan sebahagian daripada aksara Prasasti Tham Prasat[42].

 

Berdasarkan pengamatan dan penelitian yang dibuat, masih belum ditemui prasasti yang memiliki serif titik bulat berpasangan sepertimana yang wujud pada Prasasti Sungai Mas II. Walau bagaimanapun, bentuk serif titik bulat berpasangan tersebut tidak semestinya melambangkan satu gaya pemahatan yang khas. Berdasarkan pemerhatian terhadap cara pahatan terhadap permukaan batu prasasti tersebut, kemungkinan bentuk serif sedemikian wujud bukan disebabkan oleh pengetahuan citralekha mengenai bentuk aksara tersebut, tetapi disebabkan oleh kesalahan akibat peralatan pemahatan yang kurang sempurna.[43] Sehingga serif tersebut dapat dibandingkan dengan prasasti lain yang memiliki bentuk serif yang hampir sama, persoalan sama ada serif titik berganda tersebut merupakan satu gaya pemahatan yang khusus akan kekal menjadi satu tanda tanya.

 

Huruf ra di dalam prasasti ini mempunyai ekor  yang menganjur dari garis dasar huruf  kebawah dengan panjang yang hampir sama dengan badan huruf yang seterusnya dibengkokkan ke kiri dan keatas kembali ke garis dasar huruf. Pola yang sama dimiliki oleh huruf ña, kadan a yang memiliki bentuk ekor yang sama. Bentuk ekor huruf ña, ka, ra dan a ini adalah hampir sama dengan aksara prasasti Tugu. Bentuk ekor huruf yang panjang dan menganjur ke bawah garis dasar huruf adalah ciri pemahatan huruf Pallava sebelum kurun ke-7 Masehi. Selain Prasasti Tugu, bentuk sama dapat dilihat pada Prasasti Yupa[44], Prasasti Myson[45], Prasasti Wat Maheyong[46], dan Prasasti Chong-Koi[47].

 

Huruf ka di dalam prasasti ini mempunyai dua garisbersambung terus dengan serif dan menganjur ke kiri dan kanan lalu turun garis dasar huruf. Titik persambungan serif dan dua garisan tersebut membentuk garisan mendatar, dengan kesan sepasang titik bulat yang merupakan serifnya. Tidak seperti Prasasti Pallava dan Pasca-Pallava dengan huruf ka yang memiliki garis garis menegak yang menghubungkan serif dan persambungan garisan kiri dan kanan, huruf ka Prasasti Sungai Mas II dengan dua garisan di kiri dan kanan yang bersambung terus dengan serif memiliki persamaan dengan huruf ka yang ditemui pada prasasti Jawa Kuno[48]dan Ligor[49]. Terbitan vokal yang bersambung dengan ka dan membentuk kalimat ko tidak bersambung dengan serif seperti aksara Pallava mahupun Pasca-Pallava, tetapi wujud sebagai garisan miring di kiri dan kanan huruf. Ciri ini memiliki persamaan dengan aksara Jawa Kuno. Walaupun bentuk garis miring kiri dan kanan merupakan gaya pemahatan Pasca-Pallava, tetapi ekor huruf yang merupakan gaya Pallava awal dikekalkan.

 

Huruf ña Prasasti Sungai Mas IImemiliki persamaan dengan ña yang digunakan di dalam Prasasti-prasasti Srivijaya, iaitu jenis yang tidak memiliki serif, dengan dua garisan yang menganjur secara mendatar ke kiri dan kanan sebelum membengkok ke bawah sehingga ke garis dasar. Garisan mendatar di bahagian kiri adalah tiga kali ganda lebih panjang dari garisan di kanan. Garis menegak ditengah menganjur hingga ke bawah garis dasar membentuk ekor huruf sama seperti huruf ra, ka, dan a. Bentuk ekor huruf ña sebegini mempunyai persamaan dengan ekor huruf ña di dalam Prasasti Myson pada kurun ke-6 Masehi. Konsonan i Prasasti Sungai Mas II berbentuk dua garisan parabola yang bersambung di bahagian atas, dan satu garisan parabola di bawah. Bentuk konsonan i tersebut merupakan ciri khas aksara Pasca-Pallava yang ditemui dalam prasasti-prasasti Srivijaya, Cangal dan Sojomerto. Huruf ga yang memiliki lengan yang sama panjang di kiri dan kanan pula merupakan ciri umum yang dimiliki oleh Prasasti di India Tengah pada kurun ke-4 dan 5 M.[50]

 

Huruf na yang digunakan memiliki gelung pada dasar huruf tersebut yang miring ke arah garisan dasar. Bentuk gelung yang jelas tersebut merupakan ciri yang dimiliki oleh aksara Pallava awal. Bentuk huruf sebegini wujud di dalam Prasasti-prasasti Tugu, Yupa,dan Wat Maheyong yang ditarikhkan pada sebelum kurun ke-7 Masehi. Huruf ta di dalam Prasasti Sungai Mas II memiliki gelung yang besar dan dipanjangkan hinggakan ia mencapai ke bahagian paling atas huruf, dan menyentuh ke serif. Ini merupakan gaya pemahatan aksara Pasca Pallava yang ditemui di dalam Prasasti Srivijaya, Cangal dan Tukmas.

 

Huruf damemiliki separuh gelung  yang memiliki bentuk segiempat tepat. Gelung tersebut memiliki sudut 90 darjah yang jelas antara dua garisan mendatar dan satu garisan menegak di sebelah kiri huruf. Gelung tersebut disambungkan ke serif dengan satu garisan menegak. Ciri huruf ini memiliki persamaan dengan huruf da di dalam Prasasti Maitraka[51] pada kurun ke-6 Masehi dan Prasasti Chalukya pada kurun ke-7 Masehi.[52] Huruf da dibezakan dengan huruf ţa melalui bentuk gelung dan jarak gelung dari serif. Huruf ţa memiliki gelung yang berbentuk separuh bulat dari garis bawah hingga ke garis atas huruf tersebut. Hujung atas gelung tersebut disambung terus dengan serif tanpa dihubungkan dengan garis menegak seperti dalam huruf da. Bentuk huruf ini memiliki persamaan dengan prasasti Gurjara yang dipertarikhkan pada kurun ke-6 Masehi.[53]

 

Huruf dha memiliki bentuk lonjong, dengan garis dasarnya yang bersifat sedikit beralun. Garis atasnya adalah lurus dan serifnya terletak lebih ke sebelah kanan. Bentuk dha sebegini memiliki persamaan yang amat jelas dengan dha prasasti Chalukya kurun ke-7 Masehi.[54] Huruf la yang dimiliki oleh Prasasti Sungai Mas II adalah agak unik. Garis menegak telah diekstrapolasi dan diputarkan mengikut arah jam hingga ke bahagian kanan huruf hingga ke garis atas. Bentuk huruf sebegini adalah sama dengan huruf la di dalam Prasasti Chalukya[55] Kurun ke-7 Masehi, Prasasti Maitraka[56] Kurun ke-6 Masehi, dan Prasasti Gaŋga[57] Kurun ke-8 Masehi.

 

Huruf baturut mempunyai bersamaan dengan Prasasti Maitraka[58] kurun ke-6 Masehi apabila diperhatikan bahawa ia memiliki bentuk segi empat tepat, tetapi dengan bucu-bucunya yang dibulatkan. Di samping itu, ia memiliki garisan beralun di garis atas dan dua garis menegak di kiri dan kanan.Garis dasarnya pula berbentuk cembung di bawah.Huruf badigunakan sebanyak dua kali di dalam prasasti ini.  Pahatan pertama mempunyai bentuk seperti yang telah dihuraikan. Walau bagaimanapun, pahatan kedua untuk huruf ba tidak mempunyai garis dasar. Ini jelas merupakan kesilapan yang dilakukan oleh citralekha. Huruf sa Prasasti Sungai Mas II berbentuk tripartit dengan tiga garisan menegak. Wujud puncak di bahagian kiri yang dilengkapi dengan serif. Huruf ini mempunyai sedikit persamaan dengan Prasasti Chera dan Chalukya, masing-masing dari kurun ke-5 dan ke-7 Masehi.[59]

 

Huruf ya memiliki garisan menegak di sebelah kiri, dan diputar membentuk gelung dengan kedudukan lebih rendah dari garis atas merupakan identiti aksara Pallava awal, sepertimana yang ditemui di dalam Prasasti Tugu, dan Yupa. Huruf maberbentuk lonjong dan bersaiz lebar mempunyai garis dasar yang sedikit beralun. Garisan menegak di bahagian kiri dan kanan pula memiliki serif yang jelas. Bentuk ma sebegini mempunyai persamaan dengan Prasasti Tugu. Huruf ca pula berbentuk bujur,memiliki garis dasar yang lurus, dengan hujung kirinya menirus keatas. Di bahagian kanan, diletakkan serif, Bentuk ca ini adalah sama dengan bentuk caChalukya[60]pada kurun ke-7 Masehi.

 

Secara keseluruhan diperhatikan tidak wujud keseragaman dari aspek gaya pemahatan aksara-aksara pada Prasasti Sungai Mas II. Diperhatikan bahawa huruf-huruf yang digunakan pada prasasti yang sama memiliki pentarikhan dan pengaruh budaya yang berbeza-beza. Dari segi tarikh, adalah jelas bahawa huruf ña, ra, ka, a-, ya, -ya dan na merupakan gaya pemahatan sebelum kurun ke-7 Masehi. Walau bagaimanapun, huruf ta dan ca merupakan gaya pemahatan selepas kurun ke-7 Masehi.

 

Dari segi kesenian pula, diperhatikan bahawa aksara di dalam prasasti Sungai Mas II memiliki huruf-huruf yang hampir sama dengan prasasti-prasasti yang ditemui di India, Indochina dan Kepulauan Asia Tenggara, dan tidak memiliki sebarang identiti khas.Kaedah pemahatan prasasti yang kurang teliti dan adanya kesilapan pemahatan menimbulkan persoalan tentang pentarikhan dan kaedah pemahatan prasasti tersebut.

 

Kesimpulan

 

            Berdasarkan analisis yang telah dilakukan, kemungkinan besar Prasasti Sungai Mas II dapat dipertarikhkan pada selepas kurun ke-7 Masehi. Hal ini kerana huruf-huruf seperti ca dan ta cuma wujud selepas kurun ke-7. Wujud kemungkinan bahawa prasasti ini disalin semula dari manuskrip atau prasasti yang lebih awal. Ini menyebabkan sebahagian besar daripada aksara Prasasti Sungai Mas II mengekalkan gaya pemahatan aksara lama. Pemerhatian terhadap bentuk pahatan menunjukkan bahawa ia tidak dipahat oleh citralekha yang mahir. Hal ini menjelaskan keadaan prasasti tersebut yang tidak memiliki satu gaya pemahatan khusus (contohnya gaya Pallava awal dan Pasca-Pallava) yang menjadi identiti kepada prasasti tersebut. Pengaruh kebudayaan prasasti tersebut pula masih belum dapat dipastikan.

 

 

Senarai Notakaki

 

[1] Lihat Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim, Warisan Lembah Bujang, Bangi: Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, 1992, hlm. 19-98.

[2] James Low, “An Account of Several Inscriptions Found in Province Wellesley, on the Peninsula of Mallaca” dalam Journal of the Asiatic Society of Bengal, 17 (2).

[3] I. H. N. Evans, “Ancient Inscription of Cherok Tokkun, Province Wellesley”, dalam Journal of The Federated Malay States Museums, 15(1), 1929, hlm. 35-6.

[4] H. G. Quaritch-Wales, “Archaeological Research on Ancient Indian Colonization in Malaya”, dalam Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Studies, XVIII, 1, 1940, hlm. 7-10 dan 24.

[5] Jane S. Allen, “An Inscribed Tablet from Kedah, Malaysia: Comparison with Earlier Finds”, dalam Asian Perspectives, XXVII(1), 1986-1987, hlm. 36-57.

[6] Lihat Michel Jacq Hergoualc’h, Le Civilisation de Ports-Entrepots du Sud Kedah, Malaysia. V-XIV siècle, Paris: L’Harmattan, 1992, hlm. 217-36.

[7] Belum diterbitkan

[8] Belum diterbitkan

[9] Akan dibahas di dalam makalah ini.

[10]Pandangan Allan tidak diterbitkan di bawah nama beliau sendiri, tetapi cuma dikutip di dalam laporan H. G. Quaritch-Wales. Lihat Michel Jacq Hergoualc’h, The Malay Peninsula: Crossroad of the Maritime Silk Road (100BC-1300AD), Leiden: Koninklijke Brill N. V., 2002, hlm. 207-208, dan H. G. Quaritch-Wales, “Archaeological Reseaches”, hlm. 7-9.

[11] F. D. K. Bosch, “(A Review of) A. Lamb, chandi bukit Batu Pahat; a report on the excavation of an ancient temple in Kedah, 1960 & A. Lamb, Chandi Bukit Batu Pahat. Three Additional Notes”, Bijdragen tot de land-, taal-, en volkenkunde van koninklijke, 1961, 117(4), hlm. 485-491.

[12] J. G. De Casparis, Prasasti Indonesia II: Selected Inscriptions from the 7th to the 9th Century A.D,  Bandung, hlm.  104-7 dan J. G. De Casparis, Indonesian Paleography: A History of Writing in Indonesia from the beginnings to c. A.D. 1500, Leiden: E. J. Brill, 1975, hlm. 19-20.

[13] Pandangan N. P. Chakravartin tidak diterbitkan, tetapi cuma dikutip di dalam laporan H. G. Quaritch-Wales. Lihat H. G. Quaritch-Wales, “Archaeological Researches”, hlm. 9 dan 23.

[14] J. W. Laidlay, “Note on the inscription from Singapur and Province Wellesley forwarded by Hon. Col. Butterworth, C. B. and Col. J. Low” dalam Journal of Asiatic society of Bengal, XVII(2), 1848, hlm. 66-72 dan J. W. Laidlay, “Note on the Foregoing(On an inscription from Keddah, by Lieut. Col. Low)”, dalam Journal of the Asiatic Society of Bengal, XVIII(1), 1849, hlm. 247-9.

[15] B. C. Chhabra, “Expansion of the Indo-Aryan Culture during Pallava Rule a evidenced by inscriptions” dalam Journal of the Asiatic Society of Bengal, I, 1935, hlm. 1-64.

[16] H. Kern, “Concerning some old Sanskrit inscription in the Malay Peninsula” dalam Journal of the Strait Branch of Royal Asiatic Society, 49, hlm. 1907, hlm. 95-101.

[17] A. H. Dani, Indian Paleography, Oxford: Claredon Press, 1963, hlm. 239-40.

[18] Jan Wisseman Christie, “The Sanskrit inscription Recently Discovered in Kedah, Malaysia” dalam G. J. Bartstra dan W. A. Casparie (Ed), Modern Quartenary Research in South East Asia, 11, 1988-9, hlm. 39-53.

[19] Alastair Lamb, “Miscellaneous Papers on Ancient Hindu and Buddhist Settlement in Northern Malay and Southern Thailand” dalam Federation Museums Journal,  VI (New Series), 1961, hlm. 38.

[20] Alastair Lamb, “Miscellaneous Papers”, hlm. 38.

[21]D. C. Sircar, Indian Epigraphy, Patna: Motilal Banarsidass, 1965, hlm. 72.

[22]D. C. Sircar, Indian Epigraphy, hlm. 72.

[23] J. G. De Casparis, Indonesian Paleography, hlm. 4.

[24] D. C. Sircar, Indian Epigraphy, hlm. 83.

[25]D. C. Sircar, Indian Epigraphy, hlm. 85-6.

[26]J. G. De Casparis, Indonesian Paleography, hlm. 5.

[27] Lihat J. G. De Casparis, Selected Inscriptions, hlm. 104. Lihat juga nota kaki no. 180.

[28] H. G. Quaritch-Wales, “Archaeologica Researches”, hlm. 8-9.

[29]Wujud beberapa kesilapan di dalam bacaan yang dilakukan oleh Allan. Pembetulan diberikan di dalam nota kaki dibawah. Lihat  Michel Jacq-Hergoualc’h, La Civilisation, hlm. 228.

[30] Bacaan yang diberi oleh Allan cuma menggunakan h mati di akhir kalimat, dan tidak  membacakannya sebagai ḥ visarga. Pembacaan yang betul bukanlah svabhātah tetapi svabhātaḥ.

[31] Pembacaan yang betul bukanlah svabhāvān na tetapi svabhāvā na.

[32] Kalimat h mati sepatutnya digantikan dengan ḥ visarga.

[33] Bacaan yang diberikan oleh Allan untuk kalimat ini adalah kotīṃ a kotīṃ. Walau bagaimanapun, daripada foto, adalah jelas ia terbacakan sebagai kotim=a koti.

[34] samaṃ sepatutnya dibacakan sebagai samāṃ.

[35] koṭīṃ seharusnya dibacakan sebagai koṭi.

[36]a, i, ka, ga, ta, da, dha, na, ṭa, ba, ma ca, ja, śa, ṣa, sa, la, ra, dan ya.

[37]-ya, -ra, -ṭa, -dha dan –ña.

[38] Akan dibahas dibawah.

[39] Lihat Foto Prasasti Kampung Pendiat (Tapak 2). Michel Jacq Hergoualc’h, Le Civilisation, hlm. 228.

[40]Kurun ke-6 Masehi. Lihat A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. 238.

[41] Kurun ke-4 Masehi. Lihat A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. 232.

[42] Kurun ke-4 Masehi. Lihat A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. 234.

[43]J. G De Casparis berpandangan bahawa ketepatan pemahatan sesuatu prasasti bukan sahaja bergantung kepada bentuk teks yang disalin, tetapi turut bergantung kepada kepada kualiti batu, lengkapnya peralatan memahat, dan kemahiran citralekha. J. G. De Casparis, Indonesian Paleography, hlm. 5.

[44] Lihat Faksimilie. H. Kern, “Inscripties Van Den Indischen Archipel Slot De Nāgarakŗtāgma” dalam Verspreide Gerschriften, Amsterdam: S-Gravenhage Martinus Nijhoff, 1917, hlm. 63.

[45] A. H. Dani, Indian Paleography, plate XXa.

[46] Kongkaew Veeraprajak, “Inscriptions from South Thailand”, hlm. 144.

[47] Kongkaew Veeraprajak, “Inscriptions from South Thailand”, hlm. 148.

[48]Lihat  J. G. De Casparis, “Short Inscription from Candi Plaosan Lor”, dalam Berita Dinas Purbakala, 4, 1958, Plate VIII(d).

[49] Lihat Faksimilie Prasasti Ligor A. Kongkaew Veeraprajak, “Inscriptions from South Thailand”, dalam Laporan Akhir SPAFA Consultative Workshop on Archaeological and Enviromental Studies on Srivijaya (I-W2b), September 16-30 1985, hlm. 153-4.

[50] A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. 233.

[51]A. H. Dani, Indian Paleography, Plate XIVa.

[52] Lihat K. F. Holle, “Tabel Van Oud en Nieuw Indische Alphabetten”, dalam Bataviaasch Genootschap Van Kunsten en Wetenschappen, 1877, hlm. 36.

[53] A. H. Dani, Indian Paleography, Plate XVIa.

[54] K. F. Holle, “Tabel Van Oud en Nieuw”, hlm. 37.

[55] K. F. Holle, “Tabel Van Oud en Nieuw”, hlm. 37.

[56] A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. XIVb.

[57] A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. XVIIb.

[58] A. H. Dani, Indian Paleography, hlm. XIVb.

 

[59] K. F. Holle, “Tabel Van Oud en Nieuw”, hlm. 37.

[60] K. F. Holle, “Tabel Van Oud en Nieuw”, hlm. 36.

 

Rujukan

Allen, Jane S. “An Inscribed Tablet from Kedah, Malaysia: Comparison with Earlier Finds”, Asian Perspectives, XXVII(1), 1986-1987.

Bosch, F. D. K. “(A Review of) A. Lamb, chandi bukit Batu Pahat; a report on the excavation of an ancient temple in Kedah, 1960 & A. Lamb, Chandi Bukit Batu Pahat. Three Additional Notes”, Bijdragen tot de land-, taal-, en volkenkunde van koninklijke, 1961, 117(4).

Chhabra, B. C. “Expansion of the Indo-Aryan Culture during Pallava Rule a evidenced by inscriptions”,Journal of the Asiatic Society of Bengal, I, 1935.

Christie, Jan Wisseman “The Sanskrit inscription Recently Discovered in Kedah, Malaysia” dalam G. J. Bartstra dan W. A. Casparie (Ed), Modern Quartenary Research in South East Asia, 11, 1988-9.

Dani, A. H. Indian Paleography, Oxford: Claredon Press, 1963.

De Casparis, J. G. Indonesian Paleography: A History of Writing in Indonesia from the beginnings to c. A.D. 1500, Leiden: E. J. Brill, 1975, hlm. 19-20.

De Casparis, J. G. “Short Inscription from Candi Plaosan Lor”,Berita Dinas Purbakala, 4, 1958, Plate VIII(d)

De Casparis, J. G. Prasasti Indonesia II: Selected Inscriptions from the 7th to the 9th Century A.D,  Bandung.

Evans, I. H. N. “Ancient Inscription of Cherok Tokkun, Province Wellesley”, Journal of The Federated Malay States Museums, 15(1), 1929.

Hergoualc’h, Michel Jacq Le Civilisation de Ports-Entrepots du Sud Kedah, Malaysia. V-XIV siècle, Paris: L’Harmattan, 1992.

Hergoualc’h, Michel Jacq The Malay Peninsula: Crossroad of the Maritime Silk Road (100BC-1300AD), Leiden: Koninklijke Brill N. V., 2002.

Holle, K. F. Tabel Van Oud en Nieuw Indische Alphabetten, Buitenzorg:Bataviaasch Genootschap Van Kunsten en Wetenschappen, 1877.

Kern, H. “Concerning some old Sanskrit inscription in the Malay Peninsula”, Journal of the Strait Branch of Royal Asiatic Society, 49, 1907.

Kern, H. “Inscripties Van Den Indischen Archipel Slot De Nāgarakŗtāgma”,Verspreide Gerschriften, Amsterdam: S-Gravenhage Martinus Nijhoff, 1917.

Kongkaew Veeraprajak, “Inscriptions from South Thailand”, dalam Laporan Akhir SPAFA Consultative Workshop on Archaeological and Enviromental Studies on Srivijaya (I-W2b), September 16-30 1985.

Laidlay, J. W. “Note on the Foregoing(On an inscription from Keddah, by Lieut. Col. Low)”,Journal of the Asiatic Society of Bengal, XVIII(1), 1849.

Laidlay, J. W. “Note on the inscription from Singapur and Province Wellesley forwarded by Hon. Col. Butterworth, C. B. and Col. J. Low”,Journal of Asiatic society of Bengal, XVII(2), 1848.

Lamb, Alastair. “Miscellaneous Papers on Ancient Hindu and Buddhist Settlement in Northern Malay and Southern Thailand”,Federation Museums Journal,  VI (New Series), 1961.

Low, James. “An Account of Several Inscriptions Found in Province Wellesley, on the Peninsula of Mallaca”,Journal of the Asiatic Society of Bengal, 17 (2).

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim, Warisan Lembah Bujang, Bangi: Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, 1992.

Quaritch-Wales, H. G. “Archaeological Research on Ancient Indian Colonization in Malaya”,Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Studies, XVIII, 1.

Sircar, D. C. Indian Epigraphy, Patna: Motilal Banarsidass, 1965.

 

 

 

 

disusun oleh:

~Srikandi

Leave a Reply