Selepas Aurangzeb, Empayar Mughal telah mengalami kemerosotan seiring dengan kebangkitan empayar baru yang muncul di barat Dataran Tinggi Deccan, Maratha.
Di sini munculnya kisah epik yang menceritakan dilema seorang isteri, Mastani.
=========================================================================
Untuk akses artikel-artikel Srikandi terkini di MF >> Petunjuk Di Batu Nisan Pasai
===========================================================================
MASTANI adalah isteri kepada Bajirao I (1700-1740 Masehi), seorang Peshwa (setaraf dengan perdana menteri atau bendahara) bagi Empayar Maratha. Bajirao berkhidmat kepada Maharaja Shahuji Bhosle (1682–1749 Masehi) atau Chhatrapati (emperor) Empayar Maratha.
Terdapat tiga versi tentang asal-usul Mastani. Versi pertama mengatakan dia adalah anak perempuan kepada Maharaja Chhatrasal yang memerintah wilayah Panna di Bundelkhand yang kini terletak antara wilayah Uttar Pradesh dan Madhya Pradesh. Versi kedua mengatakan dia adalah anak perempuan kepada pemerintah Nizam dari Hyderabad, yang kemudiannya dikahwinkan dengan Maharaja Chhatrasal. Versi ketiga ialah Mastani adalah anak perempuan Maharaja Chhatrasal sendiri dari isterinya yang berbangsa Parsi.
Mastani adalah wanita luarbiasa. Selain pandai bermain muzik, menari dan menyanyi, dia juga pandai menunggang kuda, memanah, melempar lembing dan bermain pedang. Ini membuatkan Mastani memiliki tempat tersendiri di hati Bajirao. Malah, dalam beberapa peperangan, Mastani sendiri keluar berjuang bersama suaminya. Dalam episod seterusnya, menyaksikan segala kelebihan Mastani ini seakan-akan satu ‘sumpahan’ kepada diri dan kehidupannya bersama suami yang dicintai.
Buat pengetahuan pembaca, Bajirao memiliki isteri yang lain, yakni isteri pertamanya yang bernama Kashibai.
Konflik mula terjadi apabila Bajirao dikatakan melebihkan Mastani dari Kashibai dan ini membuatkan ibu Kashibai yakni Radhabai, merasa marah dan dendam. Bagi menghormati Radhabai, adik kepada Bajirao, Chimnaji Appa telah cuba menghantar Mastani keluar dari kediaman mereka malah anak tiri Mastani, Balaji (anak Kashibai) seringkali memaksa ibu tirinya meninggalkan ayahnya. Namun Mastani tetap tabah dan bertahan dari semua tekanan dan penderitaan itu. Jiwanya begitu kental dan keras walaupun sering diejek dan ditekan oleh keluarga Kashibai dan anak tirinya sendiri.
Akhirnya ini memaksa Balaji mengurung ibu tirinya sendiri di satu kediaman ketika ayahnya keluar berperang. Ketika ini hidup Mastani amat mendukacitakan.
Jauh dari suami tercinta, dan terkurung disekat kebebasannya oleh orang-orang yang membencinya.
Sekembalinya Bajirao dari perang, alangkah sedih dan pedih hatinya tatkala melihat isteri tercintanya diperlakukan begitu. Lantas, dia segera menyelamatkan isterinya dari kurungan dan mengasingkannya ke satu tempat di Kothrud, jauh dari perlakuan Radhabai dan anaknya Balaji.
Kematian Suaminya dan Kesedihan Hingga Mengakhiri Hidupnya
Ketika Bajirao sedang memantau wilayahnya di Khargon (di Madhya Pradesh), dia jatuh sakit dan demam berhari-hari akibat cuaca panas yang melampau. Keadaan ini berterusan sehinggalah membawa kepada kematiannya. Mendengarkan ini, seluruh keluarga Bajirao hadir ke Khargon termasuk Radhabai, Kashibai dan anak-anaknya. Pada tahun 28 April 1740, mayatnya dibakar di tebing Sungai Narmada.
Mastani begitu sedih melihatkan semua ini. Ini melengkapkan tragedi dalam hidupnya. Pelindung dan suaminya telah tiada lagi. Setelah beberapa hari dirundung duka, wanita luarbiasa ini menghembuskan nafas terakhirnya di Pabal, sebuah kawasan perkampungan berdekatan dengan Pune (di Maharashtra).
Kisah Tragedi Diabadikan
Kisah epik kehidupan Mastani telah diabadikan dalam banyak karya dan drama. Namun yang terkini ialah filem Bajirao Mastani yang dikeluarkan oleh Eros International yang dibintangi oleh Ranveer Singh, Deepika Padukone dan Priyanka Chopra.
Filem ini mendapat sambutan hangat dan termasuk dalam senarai kutipan tertinggi dalam perfileman India ketika ini. Walaupun terdapat beberapa isu tentang waris Peshwar yang mempertikaikan garapan sejarah tentang moyang mereka, namun filem ini tetap menarik perhatian dengan prop, kostum dan tatarias yang berwarna-warni serta koreografi dan aksi peperangan yang hebat.
~Srikandi





Sharif
Jiwang la cikgu ..