Perang Perak-Ligor & Siam 1821-1822

Pada tahun 1821, Siam melalui Ligor telah menyerang Kedah dan menduduki Kedah dalam masa beberapa bulan sahaja. Namun sebenarnya pada tahun yang sama, Siam juga mengarahkan Ligor menyerang Perak kerana masih berdendam atas sikap Perak yang kekal berdegil tidak mahu menghantar Bunga Emas kepada Siam tanda penyerahan.

Apakah yang terjadi kepada Perak?

 

 

 

 

====================================================================

 Jabatan Sejarah
The Historian Secret Society
kredit: Correspondence of the Sultan of Kedah 1811-1818, SOAS & National Archives of Malaysia; Across the Causeway: A Multi-dimensional Study of Malaysia-Singapore Relations. Takashi Shiraishi; Eastern Customs: The Customs Service in British Malaya and the Hunt for Opium. Derek Mackay; A statesman emerges. Dr Lee Kam Hing ; Hulu Perak dalam sejarah. Raja Razman bin Raja Abdul Hamid, Haji Meor Shamsuddin, Husain bin Mahmud; Sumber-sumber dari pejabat DYMM Sultan Perak

    ====================================================================

 

 

 

SERANGAN ini adalah secara full-scale dan melibatkan sempadan Kedah dan Perak seperti sekitar daerah Kerian dan Kuala Kurau. Sememangnya apa yang berlaku pada waktu itu adalah Siam merancang kempen perluasan kuasa secara besar-besaran ke sebelah pantai barat semenanjung. Menariknya, askar-askar Ligor dan Siam ini telah ditewaskan oleh panglima-panglima Perak dengan dibantu oleh tentera dari Selangor. Ini membuatkan kempen ini gagal dan hanya tersekat di Kedah sahaja.

Sebenarnya, sebelum itu Siam telah mengarahkan Ligor menyerang Perak beberapa kali iaitu pada tahun 1813, 1814, 1816, 1818, dan 1819 namun kesemuanya dapat dihadapi oleh Perak. Kedudukan sultan Perak yang bersemayam di mana-mana tebing Sungai Perak menyukarkan tentera Siam untuk menyerang pusat pemerintahan negeri Perak sekaligus menggagalkan mereka untuk membunuh atau menangkap pemerintah Perak itu. Sultan Perak hanya menempatkan askar-askarnya di muara sungai Perak atau cabangnya untuk menghalang askar-askar Ligor untuk mara lebih ke dalam negeri Perak.

Ligor pula adalah negeri bawahan Siam yang menjadi markas tentera di selatan Siam bagi mengawal pengaruh dan kepentingan politiknya di negeri-negeri Melayu. Melalui Ligorlah, raja-raja Siam sejak semasa era Sukhotai dan Ayutthaya lagi mempunyai ‘fantasi’nya sendiri yakni senantiasa menganggap bahawa negeri-negeri Melayu di selatannya adalah miliknya. Ini adalah kerana pada era Sri Dharmaraja (Ligor pada zaman pasca Srivijaya), rajanya telah membuat perjanjian persahabatan dengan raja Ayutthaya untuk mengambil anak-anaknya sebagai anak angkat. Raja Ayutthaya sebaliknya pula menganggap ini sebagai tanda penyerahan dan termasuk sekali adalah negeri-negeri di bawah pengaruh Sri Dharmaraja, yakni 12 buah negeri, dari Segenting Kra sehingga ke Pahang. Malah fantasi ini ditokok tambah oleh raja-raja Ayutthaya selepas itu contohnya Petracha menganggap Johor juga adalah wilayahnya!

Sejak dari itulah Ligor dilantik sebagai ‘supervizor’ ke atas negeri-negeri Melayu. Strategi Siam apabila ingin menekan satu-satu negeri, ia hanya mengarahkan Ligor menyerang negeri tersebut. Jika gagal, Siam sendiri akan menghukum Ligor. Ini membuatkan Ligor tetap taat setia kepada setiap arahan dari Siam untuk menyerang negeri-negeri sasaran. Hanya apabila Ligor mengadu kehabisan tenaga manusia dan bekalan, barulah Siam akan bertindak menghantar tentera, itupun selalunya ia akan mengarahkan negeri bawahannya yang lain seperti Singgora membantu Ligor.

Strategi ini juga telah dipakai ke atas Perak sendiri apabila Siam mengarahkan Kedah melanggar Perak pada tahun 1818, di mana ketika ini Kedah menjadi negeri bawahan Siam.

 

 

petaligor1

 

 

Kesemua serangan dari Ligor ke atas Perak bermula awal abad ke-19 itu sehingga 1821 gagal mencapai matlamatnya, ini dibuktikan sehingga tahun 1827, Chao Phya Ligor yakni Raja Ligor masih diarahkan oleh Siam untuk menuntut Bunga Emas dan penyerahan Perak.

Pada masa yang sama, Kedah juga telah diancam dan kerapkali ‘dibuli’ oleh Siam dengan diarahkan sesukahati supaya menghantar tentera dan bekalan kepada peperangan Siam melawan Burma. Melihatkan masalah Kedah yang juga diganggu oleh musuh yang sama, maka pada bulan November 1814, Sultan Abdul Malik Mansur telah menulis surat kepada sultan Kedah ketika itu, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah mengajak Kedah bergabung dengan Perak untuk melawan Siam. Namun sultan Kedah enggan dengan alasan Siam terlalu kuat untuk ditewaskan.

 

 

petaligor2

Rancangan sultan Perak kepada sultan Kedah yakni bergabung untuk melawan Siam

 

Anehnya, hal yang sebaliknya berlaku apabila menjelang November 1816, apabila utusan sultan Kedah pulang dari Siam dengan membawa perintah supaya Kedah menyerang Perak dengan alasan untuk mendapatkan bekalan makanan, senjata dan tenaga manusia. Pada masa yang sama dari tahun 1813 sehingga 1818 (tahun yang dikatakan Kedah menyerang Perak), di bawah tekanan Siam, sultan Kedah masih memaksa Perak menghantar Bunga Emas kepada Siam.

Bagaimana pula sultan Kedah boleh menurutkan sahaja arahan Siam untuk menyerang Perak, walaupun sebelum itu Perak menawarkan untuk bergabung melawan Siam? Ini adalah sesuatu yang menjengkelkan.

Jadi Kedah pun menghantar angkatan tentera Kedah di bawah pimpinan Tengku Yaacob (juga dikenali sebagai Tengku Akil) dan Bendahara Kedah. Pasukan Perak telah dihantar dengan terdiri oleh lelaki dan wanita di bawah Che Panjang Talib bin Maharaja Lela Uda Tahir (Tok Janggut), keturunan Daeng Salili.

 

 

petaligor3

Siam mengarahkan Kedah menyerang Perak

 

 

Pada masa yang sama Sultan Abdul Malik Mansur Shah telah berusaha meminjam 2 pucuk meriam dari Selangor dan meminta bantuan dari Inggeris di Pulau Pinang berupa 2 buah kapal perang berserta 2000 orang tentera. Namun Inggeris menolak permintaan ini.

Pasukan yang dihantar oleh Perak rupa-rupanya adalah pasukan ‘intelligen‘ yang bermatlamat untuk mengelakkan perang saudara berlaku dan menjurus kepada diplomasi dan rundingan. Akhirnya perdamaian dicapai dan persetujuan untuk mengukuhkan ikatan melalui ‘diplomasi perkahwinan’ apabila Bendahara Kedah berkahwin dengan Che Wan Fatimah, dan Tengku Yaacob berkahwin dengan Hajah Denah, kedua-duanya anggota keluarga Che Panjang Talib.

Apabila peperangan dapat dielakkan, Sultan Abdul Malik Mansur Shah segera menghantar sepucuk surat kepada Inggeris di Pulau Pinang bahawa kononnya ‘Perak telah berada di bawah taklukan Kedah’. Ini mengaburi mata Inggeris dan berita ini cepat sampai ke pengetahuan Ligor dan Siam. Maka negeri Perak aman buat sementara waktu sehinggalah menjelang tahun 1821, apabila Siam masih tidak berpuashati kerana matlamat asalnya yakni supaya Perak tunduk menjadi negeri bawahannya masih belum tercapai. Siam merancang untuk menyerang Perak secara besar-besaran, kemudian Selangor juga mesti ditakluk kerana sering membantu Perak melawan Ligor.

Pada tahun 1821, Siam melanggar Kedah atas ketidakpuashatian raja Siam kepada sultan Kedah yang tidak memenuhi jemputannya, selain beberapa faktor lain. Ini memulakan kempen perluasan kuasa Siam ke atas pantai barat semenanjung. Sejumlah tentera juga dihantar ke sempadan Perak, terutama di perairan sekitar Kuala Kurau untuk memasuki Perak.

Ketika orang-orang Kedah berperang dengan sengitnya dengan tentera Siam di Kota Kuala Kedah, panglima-panglima Perak bertempur dengan askar-askar Ligor dan Siam dengan dibantu oleh askar-askar Selangor yang dihantar oleh Sultan Ibrahim. Maka berperanglah orang-orang Bugis dan Melayu melawan askar-askar Siam dan Ligor.

 

 

petaligor4

Gabungan askar Perak dan Selangor menewaskan Ligor dan sekaligus menggagalkan rancangan Siam

 

 

Gabungan tentera Perak dan Selangor berjaya menewaskan tentera Siam dan Ligor dan pada tahun 1822, semua saki-baki askar Ligor berjaya dihapuskan dari negeri Perak.

Balasan atas bantuan dari Selangor itu, Perak bersetuju berkongsi nilai tertentu cukai ke atas perdagangan timahnya kepada Selangor.

Walaupun begitu, Siam masih mengancam Perak dan tahun-tahun selepasnya, Perak banyak bermain diplomasi dengan pihak Inggeris supaya melindungi Perak dengan cara menggesa dan menakut-nakutkan Inggeris terhadap kepentingannya dalam pasaran bijih timah Perak, yang mana akan terancam dengan rancangan Siam. Hasilnya, dua perjanjian dicapai yakni Perjanjian Low dan Burney, yang mana ia menjamin kemerdekaan Perak atas perlindungan dari Inggeris.

Sebagai usaha terakhir Siam, pada Mac 1827, Chau Phya telah menghantar kapal penuh dengan sutera ke Sungai Perak dan berjanji akan menghantar lagi kapal yang dipenuhi beras dan gula kepada sultan dan para pembesar Perak dengan syarat sultan memenuhi ‘jemputan’ ke Ligor dan seterusnya dibawa ke Bangkok dan sedia tunduk kepada Siam dan menjadi negeri naungannya. Namun Sultan Abdullah Muadzam Shah mengingatkan Raja Ligor akan Perjanjian Burney yang menegah Siam mencampuri hal-ehwal Perak lagi. Raja Ligor telah dihalau keluar dari Sungai Perak dengan ditambah sindiran sinis Sultan Abdullah Muadzam Shah bahawa gajah pelik yang dibela untuk dihadiahkan kepada raja Siam telah mati.
.
Melalui perjanjian dengan Inggeris, askar Ligor telah dihalau keluar dengan menggunakan kapal perang Inggeris dan Kapten James Low telah memusnahkan pangkalan tentera Siam di Kuala Kurau yang diketuai oleh seorang panglima Melayu yang pro-Siam.
.
Moralnya, jika kita bersatu, tidak mustahil kita dapat menewaskan musuh walaupun musuh itu lebih kuat pada zahirnya. Namun, jika kita berdegil untuk berpecahbelah malah menikam belakang saudara sendiri, maka memang patutlah kita dibelasah oleh musuh kita yang memang menggalakkan kita berpecahbelah supaya menjadi lemah dan bangsat.
.
.
.
.
.
selfieku-3small
~Srikandi
.

 

Save

Save

One Response to “ Perang Perak-Ligor & Siam 1821-1822 ”

  1. Mohd Yunus Othman

    I am trying to seek more information on the history of Ethnic Bugis from Sabak Bernam Selangor

Leave a Reply