Misteri Raja Kuci

Di dalam Sulalatus Salatin, terdapat ungkapan ‘Raja Kuci’. Ungkapan ini muncul apabila sampai kepada bab berkaitan negeri Champa. Siapakah Raja Kuci ini? Adakah Kuci itu adalah nama orang atau nama sesuatu tempat? Adakah nama ini adalah semata-mata reka-rekaan sahaja oleh pengarang Sulalatus Salatin? Adakah ia hanya mitos atau dongeng sahaja sepertimana diimani oleh sesetengah pihak, waima profesor sejarah sekalipun?

 

.

.

 

 

 

====================================================================

 Jabatan Sejarah
The Historian Secret Society
kredit: Henry Yule, Arthur Coke Burnell, Hobson-Jobson: The Anglo-Indian Dictionary; William Marsden, A dictionary of the Malayan language; to which is prefixed a grammar, with an introduction and praxis; George Bryan Souza, Jeffrey Scott Turley, The Boxer Codex: Transcription and Translation of an Illustrated Late Sixteenth-Century Spanish Manuscript Concerning the Geography, History and Ethnography of the Pacific, South-east and East Asia; wikimedia

    ====================================================================

.

.

.

.

Mengkaji mahakarya Sulalatus Salatin memerlukan kita berfikiran terbuka dan menyantuninya dengan semangat akademik yang sama apabila kita mengkaji karya-karya luar. Jika kita mengambil sikap matang begini, akan banyak khazanah yang dapat kita gali dari mahakarya tersebut. Namun sekiranya kita lekas mengecopnya sebagai dongeng, mitos dan begitu begini maka tertutuplah kita dari meneroka sekian banyak intan permata di dalamnya.

Salah satunya ialah maksud di sebalik ungkapan ‘Raja Kuci’ yang muncul dalam Sulalatus Salatin terutama di sekitar bab berkaitan negeri Champa. Perhatikan petikan dari Sulalatus Salatin:

.

Telah berapa lamanya, maka Pau Gelang beranak dengan Pau Bania seorang lelaki. Pau Tari namanya; setelah ia besar, maka Pau Gelang pun matilah. Maka Pau Tarilah naik raja menggantikan ayahanda baginda. Maka Pau Tari beristerikan anak raja Kuci, Bia Suri namanya; beranak seorang lelaki Pau Gama namanya. Setelah ia besar maka Pau Tari pun matilah; maka Pau Gamalah kerajaan menggantikan ayahanda baginda.

 

Di sini kita mengetahui bahawa Pau Tari telah beristerikan anak raja Kuci bernama Bia Suri. Pada petikan yang lain:

 

Hatta berapa lamanya Pau Gama pun matilah. Maka Raja Jakanaklah menggantikan ayahanda baginda; baginda beriste­rikan seorang puteri, Pau Ji Yan Bi namanya; beranak seorang lelaki, Pau Kubah namanya. Setelah Pau Kubah besar, maka Raja Jakanak pun matilah, maka Pau Kubahlah kerajaan menggantikan ayahanda baginda. Baginda beristerikan anak raja Lakiu, Pau Cin namanya. Maka baginda beranak bebe­rapa orang lelaki dan perempuan. Ada seorang anak baginda perempuan, terlalu baik parasnya; maka dipinang oleh raja Kuci, tiada diberi oleh Pau Kubah, lalu diserang oleh Pau Kuci. Maka berperanglah orang Kuci dengan orang Cempa, terlalu ramai; tiada beralahan.

 

Pada suatu hari raja Kuci menyuruh pada Penghulu Ben­dahari Cempa, dibawanya muafakat, diberinya emas dan harta terlalu banyak, maka Penghulu Bendahari Cempa pun kabullah sekaliannya serta dia. Setelah hari malam maka dibukanyalah pintu kota Cempa oleh bendahari itu, maka segala orang Kuci pun masuklah ke dalam kota Bal, beramuk­lah dengan orang Cempa. Adapun orang Cempa, setengah melawan dan setengah berlepas anak bininya. Maka kota Bal pun alahlah; Pau Kubah pun mati. Maka segala anak raja-­raja Cempa dan segala menteri pun larilah, membawa dirinya ke sana ke mari, cerai-berai tiada berketahuan.

 

Di sini kita dapat membaca tentang Raja Kuci yang ingin meminang anak Pau Kubah tetapi ditolak, maka Raja Kuci pun menyerang Champa namun usahanya gagal. Namun selepas itu Raja Kuci berjaya merasuah Penghulu Bendahari Champa mengakibatkan Penghulu Bendahari Champa membuka pintu kota Champa dan orang-orang Raja Kuci pun berjaya membuat serangan mengejut yang menyebabkan negeri Champa tewas.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Kuci’ yang dipakai dalam ungkapan seperti ‘Raja Kuci’ dan ‘orang Kuci’ itu?

 

 

Negeri Kuci

 

Kuchi

 

 

Perkataan Kuci/Kuchi adalah perkataan Melayu merujuk kepada wilayah orang-orang Viet atau negeri Dai Viet di utara Champa. Ada pelbagai pendapat tentang asal-usul perkataan ini, antaranya ia dikatakan berasal dari kata Chiou-Chih merujuk kepada Tonkin yang terletak di Delta Sungai Merah di utara Vietnam pada hari ini. Pendapat lain pula menyatakan ia berasal dari perkataan Cina Jiāozhǐ, disebut sebagai Giao Chỉ dalam bahasa Viet. Ada juga pendapat menyatakan ia sebutan lidah orang Melayu kepada perkataan Viet, Kuu Chon yang merujuk kepada wilayah Thanh Hóa yang mana telah menjadi ibukota kepada pemerintahan Dinasti Ho (1400-1407 Masehi)

Kemudian orang Portugis yang tiba ke Indochina ketika itu menamakan ia sebagai Cochin, sebagai sebutan mereka berdasarkan perkataan Melayu tersebut. Mereka kemudiannya menambahkan sehingga menjadi Cochin-China, dipercayai untuk membezakannya dengan Cochin, iaitu nama sebuah kota pelabuhan di persisiran Malabar, barat India yang lebih awal menjadi koloni Portugis.

Pada abad ke-17, Vietnam dibahagikan antara para pembesar Trinh ( satu kerabat bangsawan yang menjadi kuasa de facto di utara Vietnam) di utara dan para pembesar Nguyen di selatan. Bahagian utara dipanggil Tonkin oleh orang Eropah dan bahagian selatan dipanggil Cochinchina oleh kebanyakan orang Eropah ketika itu.

 

French_Indochina_subdivisions.svg

.

Semasa tempoh penjajahan Perancis, panggilan ‘Cochinchina’ itu bergerak lebih ke selatan, dan merujuk secara eksklusif ke bahagian selatan Vietnam, yang dikuasai oleh Kemboja pada masa sebelumnya, dan ianya terletak di tenggara Indochina. Ibu kota koloni Perancis di Cochinchina berpusat di Saigon. Kedua-dua bahagian Vietnam pada masa itu dikenali sebagai Annam (Vietnam Tengah) dan Tonkin (Vietnam Utara).

Nampak tak, dari satu perkataan Kuci dari Sulalatus Salatin, kita dapat banyak pengetahuan tentang sejarah dan geografi di sebelah pantai timur Indochina itu, yang mana pernah menjadi negeri Champa pada masa silam.

 

~Srikandi

remember yesterday!

 

seriTHL

2 Responses to “ Misteri Raja Kuci ”

  1. tahniah analisis yang mendalam.

Leave a Reply