Misteri Kota Bal

Dalam Sulalatus Salatin ada tercatat. “Setelah hari malam maka dibukanyalah pintu kota Cempa oleh bendahari itu, maka segala orang Kuci pun masuklah ke dalam kota Bal, beramuk­lah dengan orang Cempa.”

Apakah kota Bal itu? Adakah ia benar-benar wujud dalam sejarah? Jika ya, dimanakah kota Bal itu?

 

 

 

 

 

====================================================================

 Jabatan Sejarah
The Historian Secret Society
kredit: Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society January 1901 (Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland Straits Branch); Ooi Keat Gin, Hoang Anh Tuan, Early Modern Southeast Asia, 1350-1800; Danny Wong Tze Ken, Vietnam-Champa Relations and the Malay-Islam Regional Network in the 17th–19th Centuries (Kyoto Review); Le Thanh Khoi, Viet-Nam Un Histoire; wikimedia

    ====================================================================

.

.

.

.

Champa adalah sebuah kerajaan yang pernah menduduki pesisir pantai timur Indochina pada masa silam, yang kini termasuk dalam wilayah Vietnam. Ia mengandungi dari 5 entiti politik (Indrapura, Amaravati, Vijaya, Kauthara dan Panduranga) serta terdiri daripada 14 dinasti di sepanjang sejarahnya.

Bukannya mahu memanjang-manjangkan maklumat tentang kerajaan Champa ini, apa yang ingin saya fokuskan di sini adalah nama sebuah kota yang ada disebutkan dalam Sulalatus Salatin. Kota ini berperanan sebagai ibukota kerajaan Champa seperti yang dikisahkan dalam mahakarya itu.

Perhatikan dalam Sulalatus Salatin:

Pada suatu hari raja Kuci menyuruh pada Penghulu Ben­dahari Cempa, dibawanya muafakat, diberinya emas dan harta terlalu banyak, maka Penghulu Bendahari Cempa pun kabullah sekaliannya serta dia. Setelah hari malam maka dibukanyalah pintu kota Cempa oleh bendahari itu, maka segala orang Kuci pun masuklah ke dalam kota Bal, beramuk­lah dengan orang Cempa. Adapun orang Cempa, setengah melawan dan setengah berlepas anak bininya. Maka kota Bal pun alahlah; Pau Kubah pun mati. Maka segala anak raja-­raja Cempa dan segala menteri pun larilah, membawa dirinya ke sana ke mari, cerai-berai tiada berketahuan.

Apakah ‘kota Bal’ itu? Mungkin ada di antara kita merasa nama ‘Bal’ ini adalah sesuatu yang unik dan tidak pernah didengari dari mana-mana. Berdasarkan perenggan di atas kita tahu bahawa kota Bal ini adalah sama dengan kota Cempa (Champa).

Perhatikan ayat ini:

“…maka dibukanyalah pintu kota Cempa oleh bendahari itu, maka segala orang Kuci pun masuklah ke dalam kota Bal…”

Ini bermakna kota Bal adalah ibukota kerajaan Champa.

Persoalannya, adakah kota Bal itu benar-benar wujud? Adakah pengarang Sulalatus Salatin saja-saja meletakkan nama ibukota Champa ini mengikut imaginasinya?

.

.

.

Bal, ibukota negeri Champa

.

balonga

.

.

Menurut C. 0. Blagden dalam makalahnya, A Malayan Element in some of the Languages of Southern Indo-China menyebutkan bahawa perkataan ‘Balonga’ telah ditemui dalam peta Claudius Ptolemy yang terletak di pesisir pantai timur Indochina.Perhatikan peta di atas dan nama ‘Balonga’ telah saya tampilkan dalam bulatan merah.

Nama ini mirip atau boleh dianggap sama dengan Bal-Angoue atau Bal-Angwe/Ngwe/Ngwa, yang merupakan ibukota Champa yang terakhir dan ini menurut pendapat Blagden sendiri, telah disebutkan dalam Sulalatus Salatin sebagai kota Bal itu.

Perkataan ‘Bal’ itu dalam bahasa Cham adalah bermaksud ‘ibukota’.

Nama ‘Bal’ ini juga ada disebut pada abad ke-17 sebagai ‘Bal Chanar’ yang mana menjadi lokasi istana raja Champa ketika itu.

Disebutkan bahawa terjadinya siri pertempuran antara orang-orang dan orang-orang Viet pada tahun 1693-1694 Masehi meninggalkan wilayah yang bergolak itu dalam kebuluran yang parah dan menyebabkan wabak.

Selain kesulitan yang disebabkan oleh pertempuran tentera, pentadbiran Viet yang baru tidak bersedia untuk mentadbir wilayah Cham. Masalah utama adalah ketidakupayaan untuk mewujudkan pertahanan yang berkesan. Masalah ini sebahagiannya diselesaikan apabila penguasa Nguyen yang bernama Nguyen Phuc Chu (1691-1725) melantik panglima kepada Po Saut, raja Champa, yang bernama Po Saktiraydaputih, sebagai ta doc (gabenor) untuk mentadbir wilayah itu bagi pihak Nguyen.

.

balponagar

Po Nagar

.

Po Saktiraydaputih diberi pangkat seorang kham-ly (pegawai pentadbir) di dalam pentadbiran Nguyen. Ketiga anaknya diberi tempat dalam tentera. Orang Cham juga diperintahkan untuk menukar kostum mereka kepada budaya Viet yang berpaksikan pengaruh budaya China. Ini memulakan proses ‘Vietnamisasi’ di wilayah Cham yang kemudiannya terus berlanjutan menjelang abad ke-18.

Pada tahun 1694, Nguyen Phuc Chu telah mengarahkan Po Saktiraydaputih dan gabenor Champa seterusnya untuk diwajibkan memberi ufti kepada pentadbiran Nguyen. Nguyen Phuc Chu juga memulangkan mohor kerajaan Champa bersama-sama dengan senjata, kuda, dan penduduk yang ditangkap. Tiga puluh askar Vietnam atau Kinh Binh (askar diraja) dihantar untuk melindungi pemerintah Cham yang baru. Pada masa ini kerajaan Champa tidak lagi wujud sebagai entiti bebas, tetapi telah diintegrasikan ke dalam naungan Nguyen. Orang Cham terus menjalani kehidupan di wilayah-wilayah kecil dari Quang Nam hingga ke wilayah Pho Hai-Phan Rang-Phan Ri, di mana terletaknya pusat pentadbiran Cham di bawah Po Saktiraydaputih. Istana raja terletak di Bal Chanar, tidak jauh dari Phan Ri itu.

Kesimpulannya, memang perkataan ‘Bal’ itu benar-benar wujud dalam sejarah dan merupakan nama am merujuk kepada ibukota Champa. Ini telah benar-benar direkodkan dalam Sulalatus Salatin.

.

.

~Srikandi

remember yesterday!

seriTHL

Leave a Reply