Humayun

Humayun

 

Seketika,saya merenung jauh ke arah makam salah seorang emperor Mughal yang hebat,di masanya,beliau telah mengembalikan empayar Mughal dari Dinasti Suri,dinasti bangsawan Pashtun dari wilayah yang sekarang dipanggil Afghanistan.

Waktu tu di India,musim sejuk.Bibir dan pipi saya kering dan saya terpaksa memakai sejenis bam untuk melembabkan kulit.Saya baru sampai di New Delhi,dari perjalanan 2 hari 2 malam dari Tamil Nadu dalam keretapi.Perjalanan menaiki keretapi India amat mengasyikkan dengan pemandangan ladang gandum,bukit batu,padang pasir dan lapangan bunga yang berwarna-warni.Saya membaca tulisan di atas tiket keretapi;The pride of India,merujuk kepada perkhidmatan keretapinya.

Saya berjalan-jalan di Purana Qila,sebuah kubu lama di Delhi sekarang dan seperti merasai kehilangan 15 tahun penguasaan Mughal ke atas wilayahnya di utara India kepada Sher Shah Suri,bangsawan Pashtun yang kuat.

Suasana lembut dengan suhu sejuk yang menggigit kulit,saya merenung Humayun Gate (Gerbang Humayun).Saya memikirkan di zaman Mughal,perebutan takhta empayar begitu menakutkan sehingga adik sendiri sanggup membutakan mata abangnya supaya abangnya tidak lagi berminat menuntut takhta.

humayun

Nama sebenar Humayun ialah Nasir ud-din Muhammad Humayun, memerintah dari tahun 1530 Masehi sehingga 1540 Masehi.Raja-raja Mughal adalah keturunan langsung dari Gengkhis Khan dari seorang anaknya,Chagatai dan Timur,seorang pemerintah suku Turki-Monggol di Asia Tengah.Kedua-duanya,Chagatai dan Timur,adalah dua pemimpin yang amat digeruni pada zaman mereka.

Pertembungan budaya dan agama di wilayah-wilayah seperti Parsi,Arab,Afghan dan utara India yang sudah sedia ada sultan-sultan kecil yang memerintah,menjadikan pemerintah-pemerintah Turki dan Mongol mula mengadaptasi budaya dan agama mereka.Mereka memeluk Islam dan mula meluaskan wilayah atas nama Islam.

The Mughals,yang memiliki budaya Parsi dan Arab yang diadun begitu romantik,menghasilkan karya sejarah yang syahdu seperti Taj Mahal dan Red Fort,memberikan India,permata kesenian yang tiada tolok bandingnya.

Saya duduk berehat di bawah sebuah pokok yang rendang sambil mengesat hidung saya.Saya mengalami selesema sejak sampai di Maharashtra lagi.

“You ok?” seorang lelaki Hindustan menyapa saya.Saya mengangguk-angguk senyum walaupun kepala saya merasa berat.Saya memandang ke arah makam Humayun,tetapi anehnya,saya seperti melihat Taj Mahal d dalam kabus pagi berbalam-balam nun di sana.

~Srikandi

April 29, 2013 ยท

 

 

 

 

Leave a Reply